Buletin

PADA 2007 HONDA INSPIRE DIPERKENAL DI JEPUN – ACCORD V6 3.5L i-VTEC!

Pasaran domestik Jepun sememangnya unik. Walaupun Jepun adalah tanah kelahiran pelbagai jenama tersohor dunia namun tidak semua model global dipasarkan di situ.

Ada yang dipasarkan terkemudian daripada pasaran lain dan ada juga dikenali dengan nama berbeza. Contohnya Jazz dikenali sebagai Fit, City sebagai Grace dan HR-V sebagai Vezel.

Satu lagi nama yang berbeza ialah Inspire. Pada 19 Disember 2007, Honda Motor Co., Ltd. memperkenalkan model itu di pasaran Jepun atau popular dikenali sebagai Accord di negara lain.

Selain Inspire, model ini dahulunya dikenali sebagai Honda Vigor dan ada yang dibawa masuk melalui pengimport bebas ke negara kita. Selepas Vigor, model eksekutif ini dikenali sebagai Saber dan Acura TL.

Inspire adalah nama siri Honda di Amerika Syarikat dan pastinya dengan sesaran enjin yang besar. Model yang dipasarkan di Jepun pada 2007 dilengkapi enjin V6 3.5-liter i-VTEC dengan pelbagai ciri-ciri canggih.

Enjin itu pertama kali ditawarkan di Jepun dan dilengkapi teknologi Variable Cylinder Management (VCM) yang boleh menukar pembakaran di antara enam, empat atau tiga silinder bergantung kepada kepada cara pemanduan.

Sistem itu dengan pelbagai ciri kecekapan lain berjaya menghasilkan output berkuasa 280PS dan daya kilas tinggi 342 Nm.

Inspire turut dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan seperti enam beg udara untuk kesemua varian dan ciri standard Collision Mitigation Brake System (CMBS) dan E-pretensioners sebagai untuk varian 35iL.

CMBS berfungsi untuk memberi amaran  kepada pemandu apabila terdapat risiko pelanggaran dengan kenderaan depan dan mengaktifkan brek secara automatik bagi memperlahankan kenderaan.

E-pretensioners pula bertindak dengan menarik tali pinggang keledar secara automatik sejurus sebelum berlakunya kemalangan atau pemandu membrek secara mengejut.

Turut dilengkapi ialah Vehicle Stability Assist system (VSA), ABS (Anti-lock Brake System) dengan EBD (Electronic Brake Distribution)

Satu ciri menggagumkan untuk kereta yang dikeluarkan pada tahun 2007 ialah sistem penyaman udara pintar. Sistem ini menggunakan maklumat GPS dan sensor cahaya matahari bagi mengenalpasti arah dan tahap sinaran matahari bagi mengawal suhu dan output udara.

Honda memasarkan dua varian Inspire iaitu 35TL dan 35 iL yang masing-masing berharga JPY¥3,300,000 dan JPY¥3,900,000.

Inspire atau Accord ini memang mempunyai sejarah menarik dan usia panjang selepas Proton menggunakannya sebagai model gantian Perdana. Ia adalah sejarah penting kerana Honda jarang berkongsi dan membenarkan modelnya dijenamakan semula dengan jenama luar.

Google ads
Back to top button