Artikel PilihanBuletin

HONDA MAHU TINGKATKAN MONO-ZUKURI DI JEPUN DAN DUNIA – APA BENDA NI?

Apabila kau berjaya, kau cakap apa pun orang percaya. Sama juga dengan bangsa Jepun. Masa mula-mula bangkit dari perang dunia kedua, mana orang pandang sangat, skeptikal itu biasa. Tapi mereka jalan terus sampai lah sekarang. Ikutkan sekarang pun masih ada yang pandang sebelah mata apabila bercakap tentang industri automotif. 

Cuba bandingkan jumlah kereta premium buatan Eropah dengan Lexus atau Infiniti. Ikutkan dari segi reliabiliti memang Lexus paling top. Tapi kereta Eropah tetap masih lagi jadi kegemaran ramai.

Apabila bercakap pasal Jepun, tidak kurang praktis yang menjadi sebutan dan dikagumi ramai. Kaizen, 5S itu ibarat dah jadi standard amalan industri. Korea Selatan pun sama sekarang ini sudah ramai menggagumi.

Kau tunggu bila negara dan rakyat kita sama taraf dengan mereka semua, perkataan dan pepatah seperti tekun, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan pun orang akan kagum.

Honda Urban EV Concept unveiled at the Frankfurt Motor Show

Bukan setakat perkataan, silap-silap nasi lemak, teh tarik dan budu pun orang akan kata bagus sebab jadi makanan orang maju. Apa? Banyak kalori? Habis ikan mentah sushi tu macam mana?

Okay lah berbalik kepada cerita asal, Honda Motor Co.,Ltd. pada kelmarin telah mengumumkan evolusi sistem produksi automotif dan keupayaan dengan tujuan untuk menambah baik Mono-zukuri di Jepun. Mono-zukuri adalah satu istilah yang merujuk kepada seni menghasilkan atau mengeluarkan sesuatu produk.

Secara spesifiknya, Honda mahu memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu mahu mengembangkan operasi pengeluaran di Jepun. Satu lagi ialah Honda mahu menubuhkan inisiatif yang dapat mengembangkan teknologi pengeluaran di Jepun supaya dapat diguna pakai di peringkat global.

Kenapa Honda mahu melakukan semua ini di kala kedudukan syarikat dalam keadaan baik. Jika perasan, syarikat automotif lain di Jepun termasuk yang paling besar sekali Toyota sedang dan sudah mengubah cara mereka menjalankan operasi. Mereka (Toyota/Mazda, Nissan/Mitsubishi) berpakat untuk bersedia dan mendepani cabaran akan datang.

Menurut Honda, inisiatif ini dilakukan memandangkan landskap automotif semakin berubah susulan kemajuan beberapa bidang seperti teknologi pintar dan elektrifikasi. Perubahan besar sedang melanda dan merupakan titik perubahan dalam industri automotif.

Oleh itu, Honda mengantisipasi perubahan ini dengan mengembangkan operasi pengeluaran selain daripada operasi pembangunan produk. Sejak dari mula diasaskan, Honda sudah pun membangunkan teknologi dan pengetahuan mono-zukuri di Jepun kemudian mengembangkannya di operasi luar Jepun dengan setiap wilayah mengadaptasi keperluan dan kemahiran setempat.

Melalui kaedah itu, Honda berjaya berkembang di peringkat global. Sekarang sudah sampai masanya pengeluar memberi fokus kepada perubahan industri dan oleh itu Honda mahu mengambil langkah dengan terus mengembangkan produksi mereka di Jepun dan membangunkan struktur di mana operasi di Jepun akan menerajui cawangan lain di peringkat global.

Berdasarkan objektif di atas, Honda akan mengambil inisiatif berikut:

1. Pengembangan operasi produk di Jepun

Honda akan membangunkan sistem produksi dan keupayaan yang akan meningkatkan daya saing sedia ada

1.1 Kilang Saitama – Bagi menampung produksi kenderaan yang dilengkapi teknologi baharu seperti elektrifikasi, produksi kenderaan di kilang Sayama dan Yori akan disatukan kepada kilang Yori sahaja. Kilang itu akan dilengkapi teknologi produksi terkini dan ia dijangka siap pada tahun fiskal 2022.

Pengetahuan produksi dalam bidang teknologi baharu akan dikumpulkan di kilang Yori di mana Ketua Mono-zukuri akan mengembangkannya ke operasi luar Jepun. Proses ini akan melibatkan sebuah struktur di mana operasi di Jepun akan menerajui operasi Honda di peringkat global.

Pekerja di kilang Sayama dipindahkan ke kilang Yori di mana pengetahuan dan kemahiran terkumpul mereka akan digunakan di sana.  

1.2 Kilang Suzuka:

Kilang ini akan terus berfungsi dengan membangunkan teknologi dan pengetahuan bagi menghasilkan kenderaan kompak. Kilang ini juga akan terus memainkan peranan dalam mengembangkan teknologi produksi dan pengetahuan ke operasi Honda di peringkat global.

1.3 Yokkaichi Factory of Yachiyo Industry Co., Ltd. (Yachiyo)

Kilang ini adalah lokasi di mana kenderaan dengan kuantiti kecil dihasilkan. Honda dan Yachiyo pada hari ini telah menandatangani perjanjian asas untuk memulakan perbincangan bagi mengambil alih bisnes pemasangan kenderaan sebagai subsidiari penuh milik Honda.

2. Membangunkan sebuah fungsi baharu untuk mengembangkan teknologi produksi global di Jepun

Bertempat di kilang Yori, Honda akan membangunkan sebuah fungsi baharu seperti berikut:

  • Mewujudkan, menyeragamkan dan berkongsi teknologi baharu dalam produksi di peringkat global bagi menampung teknologi automotif baharu seperti elektrifikasi
  • Pekerja operasi produksi Honda dari lokasi berbeza akan ditugaskan ke Jepun untuk bekerjasama dalam membangunkan teknologi produksi dan proses baharu berdasarkan pengetahuan yang mereka ada
  • Seterusnya produksi dan proses tersebut akan disahkan melalui demonstrasi yang dibina khusus untuk tujuan ini yang kemudiannya diperhalusi dan dijadikan piawaian
  • Teknologi dan proses produk yang standard kemudian dikembangkan ke peringkat global supaya produk bekualiti tinggi Honda dapat dilancarkan dengan pantas di pasaran masing-masing 

Selain itu Honda juga percaya fungsi ini dapat membangunkan dan mengeratkan sumber manusia di peringkat global. Pada masa yang sama juga, tugas ini akan dipertingkatkan dan disempurnakan sebagai organisasi baharu dalam Honda.

Melalui inisiatif ini, Honda akan terus memperkukuhkan dan mengembangkan sistem produksi automotif dan keupayaan di Jepun bagi menguatkan struktur bisnes automotif sedia ada.

BACA: HONDA SUPER CUB EDISI 100 JUTA UNIT – INI BARU OTAI

BACA: HONDA STEPWGN 2018 – TAWAR CIRI HONDA SENSING, VARIAN HIBRID, ENJIN TURBO 2.0L

Google ads
Back to top button