Buletin

NISSAN LEAF NISMO DAN SERENA NISMO UNTUK TOKYO MOTOR SHOW – MENGANCAM HABIS!

Pameran Kenderaan Tokyo ke-45 (Tokyo Motor Show) yang bakal bermula pada 27 Oktober depan dijangka hangat dengan barisan model-model terkini gergasi automotif dunia. Sebagai contoh Nissan telah mendedahkan mereka akan mempamerkan 13 buah kenderaan termasuk dua model hangat iaitu Nissan LEAF NISMO Concept dan Serena Nismo.

Nissan LEAF NISMO Concept

Kredit: Nissan

Kenderaan elektrik (EV) ini baru sahaja dilancarkan pada September lalu. Kereta ini tampil dengan reka bentuk yang tidak segan untuk dipandu dan nampak trendi. Ia mempunyai pelbagai teknologi canggih termasuk mampu bergerak sehingga 378 km sekali cas. Maknanya sempat lah pergi ulang alik ke Seremban untuk makan tengah hari.

LEAF baharu juga mempunyai teknologi e-Pedal di mana pemandu hanya perlu menggunakan satu pedal sahaja untuk bergerak, memecut, memperlahankan dan menghentikannya. Semua dalam satu pedal. Jimat tenaga kaki.

Dari awal sejak pelancaran lagi sudah jelas boleh dibayangkan potensi kereta elektrik ini. Bentuknya cantik dan itu lah yang dilakukan NISMO. Setakat ini NISMO hanya menambah kit aerodinamik yang dapat mengurangkan angkutan (lift) tanpa menjejaskan pekali seretan (drag coefficient). 

Kredit: Nissan

NISMO turut menala semula corak pemanduan dan pengendalian LEAF. Di antara komponen yang digunakan ialah suspensi sport dan tayar berprestasi tinggi. NISMO turut berani mengubah tetapan komputer LEAF untuk memberikan pecutan lebih tangkas pada setiap peringkat kelajuan.

Nissan LEAF NISMO Concept ini menawarkan satu tarikan yang mengikut peredaran teknologi, mesra alam dan beprestasi.

BACA: 2018 NISSAN LEAF SERBA BARU DILANCARKAN, 378KM SEKALI CAS

Nissan Serena NISMO

Kredit: Nissan

Nissan Serena yang dipamerkan ini adalah dari generasi baharu yang belum dipasarkan di Malaysia. Kelengkapan NISMO yang dipasangkan pada Serena ini sama seperti model-model NISMO yang dipasarkan di Malaysia seperti Almera dan Teana,

Di antara kelengkapan pada Serena ini ialah set suspensi sport, modul kawalan enjin baharu dan sistem ekzos supaya tidak nampak acah-acah lumba dan tidak memalukan jentera NISMO yang bersaing dalam perlumbaan di serata dunia.

Kredit: Nissan

Berbeza dengan LEAF yang sekadar model konsep, Nissan mahu memasarkan model NISMO ini bermula November depan di Jepun. Untuk pasaran tempatan pula, lazimnya model khas NISMO akan turut dipasarkan apatah lagi Serena Impul sudah lama sedia untuk dibeli.

Apa pun, kena tunggu dulu Nissan Serena S-Hybrid ini dipasarkan di sini. Boleh tahan kacak Nissan Serena NISMO kan? Lagi banyak kerusi dan pintu dari GTR. Bila anak dah dewasa dan tak mahu naik dengan kita bolehlah tukar beli dengan GTR.

BACA: LIBERTY WALK TUKAR DAIHATSU COPEN JADI NISSAN GT-R

Kredit: Nissan
Google ads
Back to top button