Buletin

HONDA MALAYSIA LANCAR HR-V SPORT HYBRID I-DCD (RM120K) DAN RM124,800 UNTUK VARIAN RS

Honda Malaysia hari ini kembali mengujakan pasaran apabila melancarkan model Honda HR-V Sport Hybrid i-DCD.

Pelancaran ini menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang menawarkan sistem hibrid pintar Dual-Clutch Drive (i-DCD) pada sebuah SUV selain untuk pasaran Jepun.

Sebelum ini, Honda Malaysia sudahpun menawarkan model Jazz Hybrid dan City Hybrid dengan teknologi i-DCD.

HR-V Sport Hybrid i-DCD dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang digabungkan dengan kotak gear klac berkembar 7 kelajuan dan Integrated High Power Motor.

Gabungan enjin dan motor yang dibantu oleh bateri lithium-ion itu mampu menawarkan kuasa seperti enjin bersesaran 2.0 liter. Sistem Sport Hybrid i-DCD juga membolehkan kenderaan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dalam Mode EV.

Sedia maklum bahawa Honda Malaysia merupakan perintis yang membawa teknologi hibrid ke Malaysia sejak tahun 2004. Ia juga menjadi pengeluar kenderaan pertama yang menghasilkan model hybrid dalam negara.

Mula dilancarkan pada tahun 2015, HR-V nyata menerima maklum balas memberangsangkan dengan jumlah jualan lebih 72,300 unit setakat 2018. Angka itu membolehkan HR-V menguasai 81 peratus, seterusnya mengekalkan posisi No. 1 dalam pasaran SUV kompak di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

“HR-V menjadi antara model penting yang menyumbang sebanyak 20 peratus kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia. Di Honda, fokus kami sekarang adalah untuk memperkenalkan teknologi termaju ke dalam semua produk.

“Sebab itu kami memperkenalkan Sport Hybrid i-DCD, enjin turbo dan teknologi keselamatan Honda SENSING kepada pelanggan di Malaysia,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

HR-V RS

Selain model hibrid, Honda Malaysia turut memperkenalkan varian RS. Ini merupakan kali pertama model RS dilancarkan di Malaysia. Setakat ini, lebih 4,600 uit HR-V baharu sudah ditempah.  

HR-V RS dijana oleh enjin 1.8L SOHC i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Ia juga dilengkapi sistem Variable Gear Ratio (VGR) untuk menawarkan pemanduan lebih sporty.

Disasarkan kepada pelanggan yang mahukan sebuah SUV lebih sporty, varian RS didatangkan dengan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci, gril hadapan baharu, serta bampar hadapan dan belakang berwarna hitam.

HR-V menetapkan penanda aras baharu dalam segmen SUV kompak apabila mengetengahkan beberapa ciri menarik. Antaranya ialah kamera under multi sudut, tempat duduk kuasa (V & RS), tempat duduk dibalut kulit (V & RS), Honda LaneWatch (V & RS), Cruise Control dan Paddle Shift.

SUV itu didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu merah mutiara (baharu), kelabu, perak, hitam dan putih mutiara.

Anda juga boleh mendapatkan tiga pakej aksesori iaitu Modulo pada harga RM5,737 Urban Package (RM1,716) dan Utility Package (RM902).

Honda Malaysia menawarkan jamninan selama 8 tahun dengan perbatuan tanpa had untuk bateri hibrid. Ia mensasarkan jualan 1,000 unit HR-V varian petrol dan 100 unit bagi model HR-V Sport Hybrid i-DCD.

Google ads
Back to top button