Buletin

HONDA MALAYSIA LANCAR VARIAN CITY HATCHBACK V-SENSING. BERMULA RM91K, LEBIH BERBALOI

Honda Malaysia hari ini memperkenalkan varian baharu dalam keluarga City Hatchback iaitu V-Sensing. Ditawarkan pada harga RM91,708 seunit, jentera kompak itu cukup sesuai untuk eksekutif muda dan mereka yang baru berkeluarga. Ini menjadikannya model yang dilengkapi sistem keselamatan Honda SENSING termaju dalam kelasnya selain varian RS e:HEV. 

Dengan perbezaan harga kurang RM4,000 berbanding varian V, ia dilihat lebih berbaloi kerana dilengkapi sistem keselamatan yang komprehensif.

“Sejak sekian lama, City dikenali sebagai sebuah kereta yang lengkap dari segi keselamatan dan teknologi canggih. Kami memperkenalkan varian City V-SENSING pada November 2021 dan ia nyata diterima baik. Untuk suku pertama 2022, City V-SENSING telah menyumbang sebanyak 34 peratus kepada jualan keseluruhan City. 

“Kini, kami teruja untuk memperkenakan pula varian City Hatchback V-Sensing. Kami yakin ia akan memberi nilai tambah kepada pelanggan, pada masa sama meningkatkan penanda aras dalam segmen ini,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.  

Teknologi Honda SENSING dibangunkan untuk merealisasikan visi mobiliti masyarakat sifar pelanggaran dengan menggunakan kamera sudut luas. Honda SENSING pada  City Hatchback V-Sensing terdiri daripada ciri: 

  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Lane Keep Assist System (LKAS)
  • 5. Road Departure Mitigation (RDM)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Auto High Beam (AHB)

City Hatchback V-SENSING dijana oleh enjin 1.5L DOHC i–VTEC berkuasa 121PS dan tork 145Nm yang dipadankan dengan kotak gear CVT. Rangkaian kuasa itu menawarka keseimbangan di antara prestasi dan penjimatan bahan api yang luar biasa dalam bentuk sebuah hatchback. 

Penampilan City Hatchback V-SENSING diserlahkan dengan sepasang lampu utama, DRL, lampu kabus dan lampu belakang LED. Tidak ketinggalan, rim aloi bersaiz 16 inci yang sporty. 

Ruang kabin pula tampil sporty dengan kemasan kulit hitam bersama jahitan benang kelabu pada tempat duduk. Praktikaliti ULTRA Seats yang hadir dalam empat mode iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh merupakan ciri standard pada semua varian.  

Bukan itu sahaja, ia dilengkapi meter TFT bersaiz 7 inci untuk membolehkan pemandu mengakses maklumat pemanduan dengan mudah. 

Selain Honda SENSING, City Hatchback V-SENSING turut dipasang dengan sistem keselamatan seperti Honda LaneWatch, Stability Assist (VSA), ABS, Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA), ISOFIX jenis ISIZE, amaran tali pinggang keledar belakang dan 6 beg udara. 

Anda boleh menempah City Hatchback V-SENSING, di 102 pengadar sah Honda, hubungi talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my 

Google ads
Back to top button