Buletin

BERHAJAT UNTUK MEMANDU KERETA LOTUS? INI KURSUS DARI AKADEMI PEMANDUAN LOTUS UK

Jika diperhatikan sekarang ini, pakej percutian ke luar negara terutama sekali yang dianjurkan oleh individu atau syarikat kecil mula menawarkan itinerari yang lari daripada kebiasaan. Trend sekarang ini ialah untuk melebihkan pembelian pengalaman berbanding pembelian material.

Contohnya, pengalaman pemanduan di Autobahn, Jerman atau melawat syarikat automatif eksotik atau menyewa kereta berprestasi seperti Nissan GTR di Jepun.

Untuk mereka yang ingin melancong ke United Kingdom dan tidak tahu hendak buat apa, ini program pemanduan oleh Akademi Pemanduan Lotus. Lebih menarik program ini diadakan di ibu pejabat Lotus iaitu di Norfolk.

Dari hanya GBP 119 (RM 668) untuk kursus asas hingga GBP 899 (RM 5,048) untuk kursus intensif Gold, Akademi Pemanduan Lotus menawarkan pelbagai tahap pembelajaran dan pengalaman termasuk sesi di litar yang boleh menambah baik skil pemanduan mereka.

Di bawah ialah maklumat tentang pakej kursus yang ditawarkan Akademi Pemanduan Lotus:

  • Menggunakan kereta Lotus Exige Sport 350 dan Elise Sport 220 terbaru
  • Turut tawar kereta dengan versi pemanduan sebelah kiri
  • Pakej paling asas – Scare Yourself Sensible bernilai GBP 119 (RM 668)
  • Pakej lanjutan yang lebih komprehensif, Bronze, Silver dan Gold – Khusus untuk mendapatkan lesen Lotus
  • Ketiga-tiga pakej ini sesuai untuk mereka yang gemarkan hari pemanduan di litar (track day)
  • Kandungan kursus lanjutan ialah ‘power oversteer’ dan heel and toe, penilaian peribadi dan pilihan rakaman dalam kereta serta cenderahati untuk simpanan dan kenangan

Selain itu, pelanggan pakej lesen Lotus diberi sesi lawatan kilang termasuk ke ruang Team Lotus dan menyaksikan sendiri kereta-kereta lumba Formula 1 Lotus yang terkenal. Pada sesi akhir, pengunjung akan dipelawa naik ke dalam kereta dan duduk di sebelah instruktor bagi merasai pemanduan kelajuan tinggi dalam sesi pusingan demonstrasi. Turut mengujakan, tetamu peserta juga boleh menikmati pengalaman melawat kilang dan merasa pusingan demonstrasi dengan caj tambahan.

Keistimewaan lain yang ditawarkan Akademi Pemanduan Lotus ialah input teknikal seperti dinamik kenderaan yang jarang diperolehi dari program pemanduan litar lain. Instruktor yang disediakan pula calang-calang, di antaranya ialah bekas pelumba F1 iaitu Martin Donnelly dan juga pemandu GT dan BTCC.

BACA: LOTUS EVORA GT430 – 430 HP, 1258 KG DAN 60 UNIT SAHAJA

Selain UK, Akademi Pemanduan Lotus turut berada di Malaysia, Amerika Syarikat dan Perancis. Maklumat mengenai program ini boleh didapati dari Lotus Driving.

Video Pemanduan Lotus Evora 400 di Litar Lotus di Hethel, UK

Google ads
Back to top button