Buletin

HONDA ODYSSEY KINI DILENGKAPI HONDA SENSING – RM254,800

Honda Malaysia hari ini menambah rangkaian model yang dilengkapi teknologi keselamatan yermaju apabila memperkenalkan model pertama untuk tahun 2018, Odyssey baharu dengan Honda SENSING.

Odyssey baharu merupakan model ketiga selepas CR-V dan Accord baharu yang dilengkapi Honda SENSING.

Pelancaran Odyssey baharu melengkapkan model yang dilengkapi Honda SENSING di Malaysia dalam segmen sedan, SUV dan MPV. 

Odyssey baharu ditawarkan dalam satu varian, 2.4L EXV dengan Honda SENSING pada harga RM254,800 tanpa insurans (termasuk GST). Honda Malaysia menetapkan sasaran untuk menjual 130 unit Odyssey baharu setahun.

Honda SENSING* pada Odyssey terdiri daripada enam ciri:

  • Adaptive Cruise Control (ACC) menetapkan kelajuan dan selang jarak dengan kenderaan di hadapan,
  • Lane Departure Warning (LDW) memantau posisi kenderaan menggunakan kamera dan memberi amaran kepada pemandu jika ia melepasi garisan jalan
  • Road Departure Mitigation (RDM) memberi amaran, menekan brek dan membantu mengekalkan stereng agar pemandu tidak terbabas keluar dari jalan raya,
  • Lane Keep Assist System (LKAS) menggunakan kamera untuk membaca garis jalan dan membantu pemandu agar kenderaan sentiasa berada di bahagian tengah laluannya,
  • Forward Collision warning (FCW) akan mengeluarkan amaran secara visual dan bunyi kepada pemandu apabila kamera monokular dan radar gelombang millimeter mengesan wujud risiko pelanggaran dengan kenderaan di hadapan,
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS) membantu menekan brek secara progresif apabila ia mengesan risiko berlakunya pelanggaran.

“Dengan adanya Honda SENSING, Odyssey baharu dijangka dapat meningkatkan penanda aras keselamatan segmen MPV di Malaysia.

“Ia merangkumi ciri Multi-view Camera System, Smart Parking Assist System dan Blind Spot Information yang memberi amaran jika kenderaan lain berada dalam titik buta ketika pemandu menukar haluan.

“Cross Traffic Monitoring pula memberikan bunyi amaran apabila wujud risiko pelanggan dengan kenderaan yang menghampiri rapat. Selain semua ciri yang eksklusif ini, Odyssey juga dilengkapi dengan enam beg udara,” kata Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial.

Ciri keselamatan luar biasa di dalam MPV ini disempurnakan lagi penampilan luaran yang mewah. Odyssey diserlahkan dengan bampar, gril dan rekaan lampu belakang LED yang baru. Di samping lampu kabus LED, rim aloi dua tona bersaiz 17” dan perumah cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik.

Ruang kabin Odyssey juga menerima penambahbaikan yang lebih segar, elegan dan mewah. Ini termasuklah tempat duduk kuasa 4-cara, ruang penyimpanan barang tambahan dengan utiliti yang dipertingkat dan kemasan pada pintu.

Tempat duduk Premium Captain dengan perehat kepala lebih besar kini dipasang pada baris kedua untuk meningkatkan lagi keselesaan dan keseronokan penumpang terutama sewaktu melalui perjalanan yang jauh.

Urusan keluar masuk dimudahkan menerusi platform lantai ultra rendah Odyssey. Ia membuatkan MPV ini mempunyai kabin luas yang sama seperti sebuah MPV dari kelas lebih besar. Ini kerana silingnya yang tinggi dan lantainya pula lebih rendah. 

Odyssey mengekalkan karekteristik model terdahulu yang tampil dengan siluet tersendiri dan cukup kemas, ruang dalaman luas dan elegan, serta dilengkapi pelbagai ciri moden untuk sebuah MPV.

Dari segi prestasi, Odyssey dikuasakan oleh enjin 2.4L DOHC i-VTEC dengan Teknologi Earth Dreams dan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT).

Ia akan didatangkan dalam tiga pilihan warna dengan dua daripadanya adalah yang pertama untuk model Honda. Warna baharu itu ialah putih dan hitam mutiara. Manakala warna perak metalik (Super Platinum Metallic) dikekalkan.  

Odyssey baharu kini sudah dibuka untuk tempahan di semua 93 pengedar Honda di seluruh negara. Ia hadir bersama jaminan selama 5 tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000km.

Maklumat lanjut mengenai Odyssey baharu dengan Honda SENSING atau ingin menempah sesi pandu uji, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda atau hubungi nombor Tol Percuma Honda di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my.

GALERI 

Google ads
Back to top button