" "
Buletin

HONDA PRELUDE CONCEPT DIPAMERKAN DI KLIMS 2024

Honda Prelude Concept bakal dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024) setelah mencuri tumpuan sejak penampilan sulungnya di Japan Mobility Show tahun lalu.

Walaupun spesifikasi penuh untuk pasaran antarabangsa masih belum didedahkan, beberapa ciri utama model konsep ini memberi gambaran jelas tentang hala tuju rekaan dan teknologi Honda untuk masa depan.

Reka Bentuk Luaran Moden
Honda Prelude Concept menampilkan rekaan dengan elemen aerodinamik yang jelas. Bahagian hadapan kereta ini menggunakan lampu utama LED nipis, dipadankan bersama gril depan minimalis untuk mencipta rupa futuristik.

Sementara itu, bumbung kaca yang panjang bukan sahaja meningkatkan daya tarikan estetik, tetapi juga memberikan ruang visual lebih luas di bahagian dalaman.

Di bahagian belakang, lampu LED melintang penuh memberikan kesan visual lebar, menambah elemen sporty pada keseluruhan reka bentuk.

Garis-garis tubuh yang tajam menonjolkan identiti coupé yang memukau, sekaligus mengekalkan aura klasik Prelude.

Sistem Kuasa e:HEV Generasi Baharu
Prelude Concept dijangka menggunakan sistem hibrid e:HEV Honda, teknologi terkini yang turut terdapat pada model seperti City, HR-V, Civic, dan CR-V.

Sistem ini menggabungkan motor elektrik sebagai sumber kuasa utama, dengan enjin petrol bertindak sebagai pengecas bateri atau sumber kuasa tambahan.

Bagaimanapun, model ini dijangka tidak dilengkapi dengan pilihan transmisi manual, satu kekurangan yang mungkin mengecewakan sebilangan peminat.

Teknologi dan Keselamatan Terkini
Prelude Concept juga dijangka dilengkapi teknologi Honda Sensing, pakej keselamatan aktif yang merangkumi kawalan kelajuan adaptif, bantuan lorong, brek kecemasan automatik, dan pelbagai ciri lain untuk meningkatkan keselamatan pemandu.

Sistem infotainmen pula kemungkinan besar menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, memberikan kemudahan tambahan untuk pemandu moden.

Dimensi dan Keseimbangan Rekaan
Meskipun angka rasmi belum diumumkan, Prelude Concept kelihatan seperti sebuah coupé bersaiz sederhana, dengan nisbah panjang dan lebar yang sesuai untuk pasaran global.

Reka bentuk yang seimbang ini memastikan ia kekal praktikal, meskipun membawa gaya sporty yang dominan.

Jika dilancarkan, Honda Prelude bakal menjadi coupé “mampu milik” pertama sejak CR-Z dihentikan pada tahun 2016.

Gabungan teknologi hijau, reka bentuk moden, dan ciri keselamatan terkini memberi peluang kepada model ini untuk menarik perhatian golongan muda serta peminat coupé.

Google ads
Back to top button