" "
Buletin

KIA EV9 GT, 501 HP UNTUK BAWA KELUARGA!

Selepas satu pusingan memperkenalkan kenderaan elektrik EV9, EV5 dan EV3, Kia mulakan pula dengan varian berprestasi EV9 GT dan model kedua selepas EV6 GT.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik ini dilancar di pasaran tempatan pada Jun lalu dan ditawarkan dalam versi enam atau tujuh tempat duduk.

Kedua-duanya didatangkan dalam varian GT-Line dengan kuasa 379 kuasa kuda (hp) atau 283 kW dan 700Nm. Apabila menggunakan nama GT penuh maknanya varian ini lebih berkuasa.

Kuasa EV9 GT dengan motor di depan dan belakang dianggarkan setinggi 501 hp (364 kW).

Angka yang dimililki meletakkan EV9 GT sebagai SUV Kia paling berkuasa setakat ini. EV9 GT juga SUV Kia pertama menggunakan Ampaian Kawalan Elektronik (ECS).

Motor depan berkuasa 160 kW dan 270 kW di belakang. Berbanding GT-Line dengan 379 hp, EV9 GT mempunyai kuasa 122 hp lebih tinggi.

Pecutan dari 0 sehingga 97 kilometer sejam (km/j) disasarkan dapat dicapai dalam 4.3 saat berbanding lima saat pada GT-Line.

Ciri sporti turut diserlahkan melalui Tukaran Gear Maya (VGS) ala kotak gear automatik biasa. VGS memberikan aksi tukaran gear ketika kereta dipecut dan boleh mengurangkan pecutan apabila had rev dicapai.

Bukan sahaja aksi tukaran gear, Kia turut memberikan pedal pada stereng untuk menukar gear ala manual. 

Rekaan Bunyi elektrik (e-ASD) di dalam kabin pula berirama dengan VGS untuk meniru bunyi tukaran gear.

Redaman penyerap hentak ECS dibuat mengikut mod pemanduan Normal, Eco, Sport dan My Drive atau butang GT pada stereng untuk tetapan paling tegar.

Selain tetapan redaman, stereng dan rasa brek turut dioptimum mengikut mod pilihan. Brek depan yang lebih besar memastikan cengkaman yang diperlukan.

Sama seperti EV6 GT, EV9 GT juga dilengkapi Pembeza Gelinciran Terhad elektronik (e-LSD) yang menghadkan gelinciran roda apabila tayar kekurangan cengkaman.

Daya kilas dihantar ke roda yang mempunyai lebih cengkaman untuk mendapatkan kestabilan semasa melalui selekoh.

Pengecasan pantas 800 volt membolehkan EV9 dan EV9 GT menambah tenaga dari 10 sehingga 80 peratus dalam tempoh tidak sampai 25 minit.

Dari segi rekaan, EV9 GT sama seperti GT-Line kecuali identiti khas iaitu angkup brek warna hijau neon yang sebelum ini digunakan pada EV6 GT. 

Bahagian tampil dengan corak nyalaan Energetic dan corak khusus pada penutup udara (Active Air Flaps). Rim aloi 21 inci dipadan bersama tayar Continental prestasi tinggi. 

Warna neon diteruskan pada bahagian dalam sebagai riasan stereng dan kerusi. Satu lagi ciri khas ialah kerusi sport dengan balutan suede Alcantara dan terpampang logo GT.

Kia turut menawarkan bahagian dalam dengan kulit tiruan warna Kelabu Gelap dan Hitam berserta riasan neon.

Skrin 12.3 inci memaparkan grafik khas GT dan semua penumpang dapat menikmati lampu suasana yang khusus untuk GT.

Kia EV9 GT dipasang di Korea Selatan dan akan tiba di Amerika Syarikat pada setengah tahun kedua 2025.

Google ads
Back to top button