Buletin

HUJAN LEBAT, SINGAPURA CATAT PEMBENTUKAN LUBANG JALAN EMPAT KALI GANDA BERBANDING BIASA

Singapura mencatatkan kewujudan lubang jalan yang semakin banyak selepas republik itu dilanda hujan lebat sejak beberapa minggu lalu.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penunggang motosikal dan basikal di sana. Setiausaha Kanan Parlimen untuk Pengangkutan, Baey Yam Keng menyatakan pihaknya sedar tentang situasi berkenaan.

“Hujan pada tahun ini adalah lebih lebat dan lama. Kita menyaksikan kewujudan lubang jalan empat kali ganda berbanding biasa,” kata Yam Keng.

Hujan lebat itu menyebabkan air menyerap ke dalam tanah. Ini membuatkan tanah dan tar di atasnya menjadi lembut apabila dilalui oleh kenderaan.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) kini sibuk memeriksa dan membaiki jalan berlubang secepat mungkin. Namun, penularan wabak COVID-19 membuatkan kerja-kerja pembaikan terjejas.

Yam Keng juga meminta pengguna jalan raya memberitahu pihak berkuasa jika mereka tahu lokasi jalan berlubang menerusi aplikasi OneService atau MyTransport.

Penunggang basikal tegar, Richard Toh, 53, memberitahu dia ada memberi maklumat kepada pihak berkuasa. Dia yang berbasikal setiap hari dari Woodlands ke Shenton Way dan dari Woodlands ke Neo Tiew mengakui lubang jalan ada di mana-mana, serta lebih dalam berbanding sebelum ini.

Seorang lagi penunggang basikal, Imran Talib, 46, memberitahu dia terjatuh di Jalan Lapangan Terbang Lama dan retak tulang. Sementara seorang lagi penunggang basikal, Lee Teck Send mengalami kecederaan otak dan meninggal dunia tidak lama kemudian selepas terjatuh kerana melanggar lubang jalan.

Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura, Bernard Tay memberitahu LTA biasanya cuba untuk membaiki lubang jalan dalam tempoh 24 jam. Namun, hujan yang berterusan membuatkan kerja pembaikan tertangguh.

Tay turut mengingatkan penunggang motosikal dan basikal supaya memakai kelengkapan keselamatan serta tidak menunggang terlalu laju demi keselamatan bersama. – SGCarmart


Google ads
"
"
Back to top button