" "
Buletin

JCB POTHOLE PRO. TAMPAL LUBANG JALAN DALAM MASA 8 MINIT SAHAJA!

Sejak berita seorang ahli politik terjatuh kerana terlanggar lubang di atas jalan ketika menunggang basikal, masalah yang sekian lama tidak diselesaikan itu kembali hangat dibincangkan.

Lubang jalan sememangnya memberi ancaman serius kepada pengguna jalan raya. Malah, beberapa insiden kemalangan dan kematian akibat ketidaksempurnaan jalan itu ada dilaporkan oleh media sejak kebelakangan ini.

Kini, masalah itu mungkin boleh diselesaikan dalam masa lebih singkat. Menurut pengeluar jentera berat JCB, membaiki lubang jalan boleh diselesaikan dalam masa cuma lapan minit!

Dikenali sebagai Pothole Pro, traktor tiga dalam satu JCB itu membolehkan lubang jalan dipotong, ditampal dan dibersihkan dengan pantas. Ini bermakna kontraktor tidak memerlukan banyak peralatan dan pekerja, sekali gus menjimatkan masa serta wang.

JCB mendakwa jentera itu boleh menyelesaikan lubang jalan seluas 250 kaki persegi dalam hanya satu shift. Dengan kelajuan maksimum 40km/j, ia boleh bergerak tanpa memerlukan trailer.

Pothole Pro mampu mengorek lubang jalan untuk menghasilkan tapak yang lebih kukuh. Sementara planer membantu membersihkan jaan yang baru diturap itu. Planer tersebut juga boleh beroperasi dengan fleksibel. Penyapu bersaiz 1,200mm pula mempercepatkan proses pembaikan jalan, selain mengelakkan material baharu tidak tercemar.

“Lubang jalan sememangnya masalah besar di UK. Sebagai pengeluar, kami gembira kerana dapat menyelesaikan isu ini. Buat pertama kalinya, penyelesaian JCB ini mudah, murah dan boleh menutup lubang jalan dengan berkesan.

“Selepas mesin ini menjalankan tugasnya, kontraktor hanya perlu menambah tar,” kata Pengerusi JCB, Lord Bamford.

Dalam ujian awal, JCB Pothole Pro mampu menampak 51 lubang jalan dalam masa 20 hari sahaja. Tugasan itu biasanya masa sekitar 63 hari untuk disiapkan.

Penyelesaian sudah ada di depan mata. Boleh dah majlis perbandaran buat tempahan JCB Pothole Pro ni.

Google ads
Back to top button