
MAHKAMAH TINGGI BENARKAN RAYUAN WARGA PAKISTAN TUNTUT PAMPASAN RM48,700 SELEPAS CEDERA LANGGAR LUBANG JALAN
Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini membenarkan rayuan seorang warga asing terhadap kerajaan untuk menuntut pampasan sebanyak RM48,700 atas kecuaian selepas motosikalnya melanggar lubang enam tahun lalu dan dia mengalami kecederaan.
Warga Pakistan, Sajid Dilwarkhan mendakwa dia terlibat dalam kemalangan kerana kealpaan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan jalan berkeadaan baik untuk pengguna jalan raya. Menurutnya, kerajaan mempunyai liabiliti vikarius atas kecuaian ketua pengarah JKR.
Sajid memfailkan saman terhadap Ketua Pengarah JKR dan kerajaan atas kecederaan yang didakwa dialaminya selepas tercampak daripada motosikal akibat melanggar lubang di Jalan Kuala Selangor (Jalan FT 54) ketika hujan pada 10 pagi 27 Oktober 2014.
Dua tahun lalu, Mahkamah Majistret menolak tuntutan Sajid kerana kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pihak keempat memastikan jalan berkenaan dalam keadaan baik. Terdahulu, kerajaan memfailkan tuntutan pihak ketiga terhadap Unik Sejati Sdn. Bhd. bagi menuntut ganti rugi serta sumbangan, sekiranya Sajid berjaya dalam samannya di mahkamah rendah itu.
Unik Sejati yang dilantik kerajaan untuk membina dan menyelenggara laluan FT54, di mana kemalangan itu berlaku bagaimanapun menegaskan tiada lubang di jalan berkenaan. Unik Sejati sebaliknya menamakan Salam Dutamas Sdn. Bhd. sebagai pihak keempat untuk mendapatkan ganti rugi dan sumbangan, sekiranya mereka didapati bertanggungjawab.
Pihak keempat itu merupakan subkontraktor yang dilantik pihak ketiga bagi menyelenggara jalan berkenaan. Salam
Dutamas mendakwa motosikal Sajid tergelincir menyebabkannya dia jatuh di lokasi lain. Tetapi cuba mengaitkan kemalangan itu dengan Jalan FT 54 untuk mengukuhkan kesnya kerana ketika itu ada kerja-kerja membaiki jalan dilakukan di situ.
Hakim S M Komathy Suppiah dalam penghakiman bertulisnya berkata, kerajaan tidak mempunyai kekebalan undang-undang mengikut Seksyen 7 Akta Prosiding Kerajaan 1956.
“Mereka mempunyai kewajipan statutori kepada plaintif untuk memastikan jalan dalam keadaan baik. Mereka tidak boleh mengelak liabiliti dengan menyerahkannya kepada pihak ketiga,” katanya.
Komathy menyatakan bahawa Ketua Pengarah JKR dan kerajaan tidak memastikan pihak ketiga terbabit menampal lubang jalan berkenaan atau meletakkan tanda amaran atau kon berhampiran lubang itu untuk memberi amaran kepada pengguna jalan.
Justeru, ia bukan sebahagian daripada kes kerajaan yang pihak ketiga dan keempat ialah kontraktor bebas.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan tuntutan kerajaan untuk ganti rugi daripada pihak ketiga, selain tuntutan pihak ketiga untuk ganti rugi daripada pihak keempat. – FMT
- BACA: BOLEHKAH BEG UDARA MELETUP DI JALAN BERLUBANG? HASIL UJIAN INI MENGEJUTKAN
- BACA: LANGGAR LUBANG JALAN, PENUNGGANG MOTOSIKAL TERIMA PAMPASAN RM11.17 JUTA
- BACA: PROTES LUBANG JALAN. LELAKI IN LETAK HELMET & TENGKORAK, HANTAR MESEJ KEPADA MAJLIS BANDARAN
- BACA: PENUNGGANG MOTOSIKAL JATUH SELEPAS LANGGAR LOPAK AIR DI JALAN MERU