RIDER GRABFOOD MAUT SELEPAS LANGGAR LUBANG JALAN DI MUTIARA DAMANSARA
Seorang pekerja penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas setelah melanggar lubang di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara berhampiran pusat beli belah The Curve di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal memberitahu, ketika kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, mangsa, Hew Yoong Le, 31, yang berkhidmat dengan syarikat Grabfood hilang kawalan dan terbabas di bahu kiri jalan selepas terlanggar lubang jalan.
Ekoran kejadian itu, motosikal mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Pembantu perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Bedah siasat ke atas mangsa yang beralamat Kampung Chempaka itu akan dilakukan selepas keputusan saringan COVID-19 diperolehi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, kejadian sama berlaku apabila seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas setelah melanggar lubang di jalan menghala pusat beli-belah Mid Valley Megamall pada awal pagi. – Astro Awani
- BACA: WARGA EMAS MAUT JATUH MOTOSIKAL SELEPAS LANGGAR LUBANG DI JALAN SYED PUTRA KL
- BACA: MAHKAMAH TINGGI BENARKAN RAYUAN WARGA PAKISTAN TUNTUT PAMPASAN RM48,700 SELEPAS CEDERA LANGGAR LUBANG JALAN
- BACA: LANGGAR LUBANG JALAN, PENUNGGANG MOTOSIKAL TERIMA PAMPASAN RM11.17 JUTA
- BACA: BOLEHKAH BEG UDARA MELETUP DI JALAN BERLUBANG? HASIL UJIAN INI MENGEJUTKAN