
HYUNDAI KINI PENGELUAR KERETA KETIGA TERBESAR DI DUNIA. ATASI GENERAL MOTORS, NISSAN DAN STELLANTIS
Pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia hari ini bukan lagi datangnya dari Amerika Syarikat, Eropah mahupun Jepun, tetapi kini status tersebut dipegang oleh Hyundai Motor Co.
Hyundai secara senyap-senyap menyelinap untuk mengatasi General Motors, Nissan Motor Co. dan Stellantis dari segi jumlah jualan tahunan.
Diasaskan 55 tahun lalu sebagai pengeluar kenderaan mampu milik untuk pasaran Korea Selatan, pengembangan antarabangsa Hyundai hanya bermula pada tahun 80-an.

Selepas bekerja keras selama beberapa dekad sebagai imej syarikat baru, Genesis Hyundai kini mampu bersaing dengan jenama kereta mewah lain. Manakala pembuat kereta itu bersaing dengan Ford untuk tempat kedua dalam jualan kenderaan elektrik AS tahun ini, di belakang Tesla.
Namun, Hyundai tidak terkecuali terpalit pelbagai cabaran seperti sekatan di Rusia, undang-undang baharu AS, kos bahan mentah, kekurangan cip, selain dakwaan pembekal Hyundai di Alabama mengupah pekerja bawah umur yang dilihat mampu menjejaskan subsidi EV.
Di sebalik isu tersebut, Hyundai tanpa menoleh ke belakang mencatat jualan memberangsangkan di Amerika Utara, dengan peningkatan 21 peratus berbanding jumlah jualan tahun lepas, sekali gus menjadikan pasaran tunggal terbesarnya. Sedangkan ia hanya mencatat jualan sebanyak 17 peratus di Korea Selatan.

Dengan sembilan kilang di seluruh dunia, pembuat kereta itu menjual 6.6 juta unit kenderaan pada 2021. Tahun ini, pendapatan mereka telah berkembang sebanyak 21 peratus kepada AS$108 bilion (RM480 bilion), kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan pembuat kereta utama.
Ketika pembuat kereta lain mengambil langkah lebih berhati-hati, syarikat Korea Selatan itu terus melangkah dengan kenderaan eletrik seperti Ioniq 5 dan sekutunya, Kia EV6 ketika Volkswagen sedang bergelut untuk mendapatkan strategi EV. Manakala Toyota pula masih melindung nilai pertaruhannya pada hibrid, EV serta sel bahan api hidrogen.
Didorong oleh kejayaan itu, Hyundai, Genesis merancang untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya 17 model EV menjelang 2030, serta 14 model EV daripada Kia. Ini bagi membolehkannya mencapai matlamat syarikat iaitu 1.87 juta jualan EV tahunan menjelang tahun 2030.
Hyundai meramalkan jualan Genesis akan berkembang sebanyak 10 peratus pada tahun ini kepada 220,000 unit untuk menyaingi secara langsung jenama seperti Tesla, BMW dan Mercedes-Benz. Ia juga merancang untuk menjadikan rangkaian mewah Genesis sebagai model elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad ini.
Minggu ini, Hyundai turut melancarkan SUV subkompak Kona baharu yang direka sebagai EV, serta turut disediakan dalam enjin pembakaran dan varian hibrid.
Hyundai berusaha untuk menempatkan semula dirinya sebagai jenama yang lebih mewah di China selepas jualan kereta di sana merosot 4.2 peratus pada bulan lalu akibat penutupan berkaitan Covid.
- BACA: KALAU BELI EV, PELANGGAN TOYOTA DAN HONDA PILIH TESLA ATAU HYUNDAI
- BACA: HYUNDAI SANTA FE 2.2 CRDi EXECUTIVE SE, SUV 7 TEMPAT DUDUK YANG SELESA
- BACA: ADA KERETA HYUNDAI/KIA TAHUN 2011-2019? ANDA MUNGKIN BOLEH DAPAT ENJIN PERCUMA
- BACA: HYUNDAI BERADA DALAM LIGA TERSENDIRI. JAUH TINGGALKAN PENGELUAR JEPUN