Buletin

KALAU BELI EV, PELANGGAN TOYOTA DAN HONDA PILIH TESLA ATAU HYUNDAI

Pelanggan Toyota dan Honda dilapor akan memilih Tesla atau Hyundai untuk jenama kenderaan elektrik kerana terdapat banyak tawaran yang lebih menarik.

Kedua-dua pembuat kereta Jepun itu dianggap sudah ketinggalan dalam penghasilan EV. Hal ini boleh dilihat pada Toyota bZ4X yang masih terperangkap dalam kontroversi selepas didapati tayarnya boleh tercabut ketika membrek.

Bagi Honda pula, syarikat tersebut hanya menjual Clarity EV di pasaran barat. Namun ia akan berubah dengan ketibaan SUV Prolog pada tahun 2024.

Tesla bukanlah satu-satunya jenama yang mencuri jualan daripada gergasi Jepun. Menurut laporan S&P Global, Hyundai Ioniq 5, Chevrolet Bolt serta Ford Mustang Mach-E juga memburu pembeli dari Honda dan Toyota.

Antara Oktober 2021 dan September 2022, Model Y dilaporkan memikat pembeli Honda Accord, CR-V, Odyssey, Toyota RAV4 dan Lexus RX.

Lebih menarik, bukan hanya pelanggan Toyota atau Honda beralih kepada Tesla untuk kenderaan elektrik. BMW dan Mercedes-Benz turut kehilangan pelanggan setia apabila mereka lebih gemar memilih Tesla meskipun kedua-dua jenama tersebut melabur dengan begitu banyak untuk pengeluaran EV.

Data pendaftaran menunjukkan bahagian pasaran EV di Amerika Syarikat meningkat lebih dua kali ganda kepada 5.2 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu.

Walau bagaimanapun, penguasaan Tesla dalam pasaran EV diramalkan tidak bertahan dalam tempoh yang lama. S&P Global meramalkan penguasaan pasaran EV Tesla akan jatuh di bawah 20 peratus menjelang 2025.

Pada masa yang sama, Toyota dan Lexus kini merancang untuk mengeluarkan 30 EV menjelang tahun 2030 serta berharap mampu memberi saingan kepada gergasi EV, Tesla.

Google ads
"
"
Back to top button