Buletin

DUCATI DESERTX KINI DI MALAYSIA. ENJIN V-TWIN TESTASTRETTA 937CC, 110HP, BERMULA RM112K

Projek DesertX diperkenalkan pada 2019 apabila Ducati mempersembahkan konsep eponim kepada orang ramai mendapat reaksi positif daripada penunggang motosikal di seluruh dunia.

Desert X ialah sebuah motosikal dual purpose dengan gabungan konsep reka bentuk moden serta inspirasi daripada jentera lumba rali tahun 80-an Ducati.

Untuk perisian DesertX, informasi penting tunggangan dipaparkan pada skrin TFT-LCD lima inci. Fungsi ketersambungan bluetooth kepada telefon pintar disediakan sebagai pilihan tambahan pada harga sekitar RM2,000 hingga RM4,000. Pengguna juga boleh memilih dua mod paparan pada unit instrumen ini.

Ducati DesertX dipadankan dengan rim lidi bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Manakala tayar pula terdiri daripada Pirelli Scorpion Rally STR.

Ia turut mendapat brek daripada Brembo, dengan cakera berkembar 320mm dan angkup M50 di hadapan, cakera 265mm serta angkup dua piston di belakang.

Suspensi pula menggunakan unit daripada Kayaba boleh dilaras sepenuhnya untuk pra beban, mampatan serta lantunan. Bahagian hadapan menggunakan fork USD dengan jarak gerak 230mm, manakala bahagian belakang menggunakan monoshock dengan jarak gerak 220mm.

Tinggi DesertX dari tanah adalah 250mm, manakala ketinggian tempat duduk pula berukuran 875mm dalam keadaan standard. Berat keseluruhan DesertX adalah 202kg.

DesertX didatangkan dengan prestasi tunggangan di atas jalan biasa dan offroad. Enam mod tunggangan disediakan iaitu Sport, Touring, Urban, Wet, manakala untuk mod Rally, kuasa elektronik dikurangkan bagi membolehkan penunggang mendapat kawalan sepenuhnya.

Seperti kebiasaan motosikal Ducati, turut disertakan adalah Ducati Traction Control (DTC) dan Cornering ABS (ada tiga tahap, boleh ditutup terus apabila dalam mod Enduro atau Rally). DesertX juga hadir dengan ciri Ducati Wheelie Control (DWC), selain Ducati Quick Shift (DQS) Up & Down.

DesertX dikuasakan oleh enjin v-twin Testastretta 937cc yang mampu menghamburkan kuasa 110hp pada 9,250rpm dan tork 92Nm pada 6,500 rpm. Tidak seperti Multistrada V2, transmisi enam kelajuan pada DesertX telah diubah dengan nisbah gear satu dan dua yang lebih pendek.

Ducati DesertX serba baharu akan dilancarkan seiring dengan pelbagai pakej eksklusif untuk meningkatkan lagi pengalaman menunggang dan pemilikan. Ini termasuk tawaran 40 peratus pada DesertX Bike Accessories Package serta tawaran 35 peratus untuk Genuine DesertX Apparel Package.

Ducati DesertX 2022 akan dijual pada harga asas RM112,900 seunit.

GALERI:

Google ads
Back to top button