Buletin

HYUNDAI MAHU EV MASA DEPAN MEMPUNYAI KARAKTER KERETA ICE

Bagi golongan yang sudah terbiasa dengan karakteristik kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE) beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik (EV), sudah pasti mereka akan merindukan beberapa perkara yang sinonim dikaitkan dengan kereta konvensional, seperti penukaran gear, gegaran yang disebabkan oleh enjin ketika pemanduan serta keadaan melahu.

Namun, itu semua bakal menjadi satu kenyataan di mana Hyundai dilaporkan sedang membangunkan satu simulasi yang mampu membawakan pengalaman pemanduan ICE di dalam sebuah EV.

Menurut laporan daripada The Drive, dokumen yang diterbitkan pada 24 Mac itu menerangkan satu sistem di mana keadaan melahu, penukaran gear, keadaan berhenti/mula – semuanya boleh disimulasikan menerusi isyarat audio daripada pembesar suara, paparan visual seperti putaran enjin (rpm), dan gegaran daripada motor elektrik.

Selain itu, dokumen itu turut memaparkan sebuah trenpacuan maya yang mampu membawakan nisbah kelajuan yang berbeza, dan boleh ditentukan oleh pemandu atau Hyundai sendiri.

Sistem ini dilihat mampu untuk membezakan sesebuah EV yang normal dengan membawakan fungsi yang mampu menghidupkan karakteristik pemanduan daripada sebuah kenderaan berenjin konvensional.

Senang cerita, Hyundai mahu menjadikan kenderaan elektrik pada masa akan datang lebih menyeronokkan untuk dipandu, selain membawakan karakteristik dan respons daripada binaan enjin yang berbeza, baik daripada enjin aspirasi natural mahupun enjin berinduksi paksaan turbo.

Sebelum ini, Toyota juga turut mempertimbangkan cara untuk menjadikan sesebuah EV menjadi seronok untuk dipandu, dengan mencipta satu simulasi yang membolehkan pemandu menukar gear sendiri – seperti sebuah kereta biasa dengan transmisi manual. – The Drive

Google ads
Back to top button