Buletin

KONTENA TERJATUH DARI JEJAMBAT HEMPAP DUA BUAH LORI

Seorang pemandu lori tersepit pada bahagian pemandu selepas dihempap sebuah kontena yang terjatuh dari jejambat di Jalan Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, kontena yang membawa kotak kitar semula itu terjatuh dari ketinggian kira-kira 12 meter selepas lori yang membawanya terbabas.

Katanya, panggilan kecemasan diterima pihaknya kira-kita pukul 1.17 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja tiba di lokasi kejadian 28 minit kemudian.

“Pemandu lori berusia 49 tahun telah dihempap kontena yang terjatuh mengakibatkannya tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, kontena yang terjatuh itu menimpa dua buah lori yang melalui kawasan tersebut.

“Sebuah lori dihempap pada bahagian belakang manakala sebuah lagi pada bahagian hadapan yang menyebabkan mangsa tersepit,” katanya.

Tambahnya, mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba Pelabuhan Klang sebelum pihaknya sampai ke lokasi kejadian.

Mangsa dihantar ke Hospital Klang untuk menerima rawatan. – utusanTV

Google ads
Back to top button