
TIGGO 7 PHEV RAIH 5-BINTANG ASEAN NCAP DENGAN SKOR 94.68 MATA
Chery Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting apabila model hibrid plug-in (PHEV) mereka, Chery TIGGO 7 PHEV, berjaya memperoleh penarafan 5-bintang ASEAN NCAP dengan skor keseluruhan cemerlang 94.68 mata, sekali gus meletakkannya antara model terbaik dalam kelasnya dari segi keselamatan.
Penilaian tersebut dibuat berdasarkan protokol ASEAN NCAP 2021–2025, yang merangkumi empat kategori utama.
TIGGO 7 PHEV mencatat skor penuh 40.00 mata bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), diikuti 17.18 mata untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), 20.00 mata bagi Bantuan Keselamatan (SA) dan 17.50 mata untuk Bantuan Motosikal (MS).
Keputusan ini memperkukuh keyakinan pengguna di Malaysia terhadap tahap kejuruteraan dan keselamatan yang ditawarkan oleh TIGGO 7 PHEV, khususnya dalam segmen kenderaan tenaga baharu.

Dari segi kelengkapan, TIGGO 7 PHEV hadir dengan pelbagai ciri keselamatan standard termasuk lapan beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), peringatan tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan dan belakang, serta sistem pengesanan kehadiran penumpang di tempat duduk belakang.
Turut disertakan ialah Autonomous Emergency Braking (AEB) untuk pemanduan bandar dan antara bandar, pengesan titik buta (BSD) untuk kedua-dua sisi kenderaan, lampu tinggi adaptif, Parking Pilot, ISOFIX dan Child Presence Detection (CPD).
Selain itu, semua varian TIGGO 7 PHEV turut dilengkapi ciri bantuan pemanduan lanjutan seperti Amaran Keluar Lorong (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Bantuan Kekal Lorong (LKA) serta AEB khusus untuk motosikal.
Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang, berkata pengiktirafan ASEAN NCAP ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan produk.
Menurutnya, aspek perlindungan pengguna menjadi keutamaan utama, sejajar dengan usaha Chery memperkenalkan kenderaan yang menggabungkan teknologi terkini, praktikaliti dan perlindungan bertaraf global.
Antara ciri yang mencuri tumpuan ialah teknologi Child Presence Detection (CPD), yang berfungsi memberi amaran kepada pemandu untuk memeriksa tempat duduk belakang sekiranya pintu belakang dibuka sebelum perjalanan bermula, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan melibatkan kanak-kanak.








