
IMEJ PATEN TRAK PIKAP GEELY MUNCUL, BAKAL LANCAR BAWAH JENAMA BAHARU RADAR TAHUN INI
Masih ingatkah anda pada trak pikap aneh Farizon FX buatan Geely?
Berdasarkan imej paten yang tertiris dalam talian, Geely dilapor bakal hadir dengan sebuah model trak pikap baharu, akan tetapi ia bukanlah pengganti kepada Farizon FX.
Sebaliknya, menurut NetEase Auto, trak pikap itu bakal dilancarkan di bawah jenama komersial baharu yang digelar sebagai Radar, malah Geely turut melabur sejumlah wang bernilai 2.42 bilion yuan (RM 1.56 bilion) untuk membangunkan fasiliti pengeluaran di Wilayah Shandong.

Berbanding Farizon FX, trak pikap baharu ini dilihat membawakan reka bentuk trak yang normal, dengan rekaan bed belakang yang lebih panjang, serta elemen-elemen rekaan daripada Geely Haoyue.
Namun berdasarkan pengamatan besar kemungkinan binaan trak pikap ini menggunakan casis unibodi, berbanding casis ladder frame seperti kebanyakan trak pikap yang ada di pasaran kita.
Selain itu, Geely turut dilapor akan memperkenalkan beberapa buah model baharu termasuklah kenderaan komersial elektrik menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA).
Jadi, adakah trak pikap ini bakal menggunakan platform SEA tersebut? – NetEase Auto




