Buletin

INDONESIA SELARASKAN PLAT KENDERAAN. CHIP RFID UNTUK TOL, PENGUATKUASAAN & BAYARAN PARKIR ELEKTRONIK

Ketika Malaysia masih lagi gagal melaksanakan penggunaan RFID di semua lebuh raya akibat sistem yang tidak efisien, lain pula ceritanya di negara jiran Indonesia.

Kerajaan republik berkenaan dilapor akan menukar warna latar plat kenderaan di sana daripada warna hitam kepada putih bermula Mac depan.

Menurut laporan Tribunnews, penukaran itu dibuat berikutan pelbagai manfaat yang diperoleh terutama supaya seiring dengan teknologi terkini.

Pengarah Unit Polis Trafik, Brigedier Jeneral Yusri Yunus memaklumkan bahawa salah satu manfaatnya adalah menyokong sistem tiket Penguatkuasaan Undang-undang Trafik Elektronik (ETLE) berasaskan kamera serta pengaktifan pembayaran tempat letak kenderaan elektronik.

Ini juga selaras dengan Peraturan Polis (Perpol) Nombor 07 Tahun 2021. Bagi mengelakkan plat itu dipalsukan, pasukan polis Indonesia (Polri) akan memasang chip RFID bagi memudahkan pengesanan oleh pihak berkuasa.

Penggunaan latar belakang plat warna putih dilaksanakan supaya Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR) dalam ETLE boleh berfungsi tanpa ralat. Sistem ANPR juga dapat berfungsi dengan lebih baik menerusi bentuk huruf (font) standard, sesuatu yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, ANPR lebih sesuai dikuatkuasakan dengan penggunaan penuh latar belakang plat berwarna putih berbanding hitam,” jelas Yusri.

Selain tujuan penguatkuasaan, plat nombor baharu itu juga akan digunakan sebagai cara untuk pembayaran parkir tanpa sentuh. Lebih menarik lagi, rakyat Indonesia boleh menukar kepada plat baharu itu tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Ini baru betul! – Agensi

Google ads
Back to top button