Buletin

INGAT LAGI UWE GEMBALLA? ANAK BELIAU SAMBUNG LEGASI!

Masih ingat lagi tentang Uwe Gemballa? Mendiang adalah pengasas kepada syarikat penala Gembala di Jerman yang ditubuhkan pada 1981 dengan majoriti produk syarikat adalah untuk Porsche.

Selepas kematian Uwe Gemballa, Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Andreas Schwartz dan pelabur Steffen Korbach berjaya membeli hak jenama dan nama Gemballa pada 2010 yang kemudian dinamakan sebagai GEMBALLA GmbH.

Uwe Gemballa nampaknya tidak sahaja meninggalkan legasi dan produk hebat tetapi juga anaknya, Marc Philipp Gemballa yang bakal melancarkan projek sendiri pada tahun ini.

Projek oleh Marc Philipp yang berusia 26 tahun adalah selepas sedekad kematian ayahnya.

Syarikat baharu dan projek ini bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan Gemballa yang diasaskan oleh ayahnya dahulu.

Projek itu di bawah MARC PHILIPP GEMBALLA GmbH yang ditubuhkan pada tahun 2018.

Satu kelebihan pada Marc Philipp ialah beliau dibesarkan di dalam keluarga dan persekitaran yang minatkan kereta sport.

Beliau adalah penuntut jurusan ekonomi di Sekolah Perniagaan Eropah (Universiti EBS) dan memiliki pengalaman dalam bidang automotif selepas berkhidmat dengan Aston Martin, Mercedes-Benz dan Porsche.

Mengenai projek yang mahu dilaksanakan, ia bukan sebuah kereta sport semata-mata. Marc Philipp mahu hasilkan sebuah kereta super dengan keupayaan off-road dalam jumlah terhad.

Projek ini disokong oleh rangkaian klien, pengedar, pembekal dan rakan perniagaan ayah beliau.

Di antara rakan projek ini ialah Alan Derosier (Reka bentuk), KW Automotive (Suspensi), Michelin & BF Goodrich (Tayar), Akrapovic (Sistem Ekzos), Staud Studios (Jenama & Pemasaran), DS Fasertechnik (Gentian Karbon) dan VELA Performance (Kejuruteraan).

Satu perkara menarik ialah projek ini telah mempunyai pelaburan penuh dan tempahan pertama dari pelanggan sudah diterima.

Projek Marc Philipp ini akan dipertontonkan buat kali pertama di hadapan pelanggan terpilih pada majlis pelancaran tertutup semasa Pameran Kenderaan Geneva 2020.

Google ads
Back to top button