Artikel Pilihan

INI KEMBAR AXIA, TOYOTA WIGO TAPI LAGI MAHAL

Beberapa hari lepas penulis terjumpa satu video pandu uji Toyota Wigo yang ditayangkan di laman sosial. Sekali imbas, penulis sudah perasan yang Toyota Wigo ini memiliki rekaan yang mirip dengan Perodua Axia yang dijual di sini. Ini tidak menghairankan kerana Perodua dan Toyota berada di bawah bumbung yang sama

Dari segi saiz, Wigo ini menggunakan platform DNGA yang sama dengan Axia dengan panjang cesi ditetapkan pada 3760mm, lebar 1665mm manakala jarak antara roda adalah 2525mm. Malah ia juga menggunakan suspensi topang McPherson di roda depan dan torsion beam di roda belakang

Toyota Wigo dikuasakan dengan enjin 1KR-VE 1000cc 3 silinder dengan sistem VVT-i yang menjana sehingga 67 kuasa kuda dan 89Nm tork. Tetapi berbeza dengan Axia, Wigo ditawarkan dengan 2 pilihan transmisi samaada manual 5 kelajuan ataupun CVT bagi gred E dan G.

Dari segi luaran, bentuk asas adalah hampir sama dengan Axia malah Wigo juga menggunakan rim 14 inci dengan tayar bersaiz 176/65. Kuasa brek pula dibekalkan oleh brek dram pada roda belakang dan brek cakera pada roda depan.

Apa yang berbeza ialah rekaan lampu depan walaupun menggunakan lampu LED serta rekaan jeriji depan yang berbeza daripada Axia. Ia menggunakan rekaan jeriji yang besar (seperti ditiru daripada Lexus) dengan diapit oleh sepasang lampe LED DRL. Manakala rekaan lampu belakang adalah 100% sama dengan Axia menggunakan mentol biasa.

Untuk bahagian dalam, kemasan papan pemuka adalah 90% sama seperti Axia termasuklah rekaan konsol gear, tombol gear, roda steering, meter analog yang sama seperti Axia SE dan corong penyaman udara.

Perbezaan utama ialah logo Toyota pada stering, suis penyaman udara digital rekaan Toyota dan juga sistem multimedia dari Toyota dengan ciri Apple Car Play dan Android Auto. Namun Wigo hanya menggunakan meter analog berbanding Axia AV yang menawarkan meter digital yang jauh lebih menarik

Dalam aspek keselamatan, Toyota Wigo juga kalah 3 4 tiang lampu dengan Axia dengan hanya menawarkan 2 beg keselamatan udara (Axia AV ada 6), sistem kawalan cengkaman ESC da brek ABS sahaja bagi varian tertinggi iaitu varian G

Jika diperhatikan Axia AV ditawarkan dengan Auto High Beam, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, dan juga Brek Kecemasan Automatik. Semua ciri ini menjadikan Axia AV jauh lebih selamat berbanding dengan Toyota Wigo G

Namun apa yang menarik ialah Toyota Wigo masih lagi menawarkan varian 1.0 manual dalam varian J dimana ia menggabungkan cesi DNGA dengan transmisi manual, dan ciri ini tidak ditawarkan untuk Axia.

Namun dari segi harga, Toyota Wigo 1.0 J manual jauh lebih mahal iaitu pada RM 51,000. Bagi varian 1.0 E CVT, ia ditawarkan dalam harga RM 57,300 dan varian 1.0 G CVT pula ialah RM 61,100. Semua harga ini adalah untuk pasaran Filipina

Anda boleh melihat spesifikasi penuh Toyota Wigo di SINI

Google ads
Back to top button