Artikel PilihanBuletin

INI KENYATAAN RASMI CARLOS GHOSN TENTANG DAKWAAN SKANDAL DI NISSAN (WAJIB BACA)

SHARE
New Triton 4Sure Power -MREC – Desktop

Dalam masa dua bulan ini media begitu seronok membicarakan tentang dakwaan salahlaku Carlos Ghosn, bekas pengerusi Nissan Motor Co.

Tokoh automotif itu dibicara secara terbuka tanpa pembelaan daripada beliau sendiri atau wakil rasmi. Malah beliau juga ditahan hampir dua bulan di dalam penjara.

Kenyataan sebelah pihak memang seronok dibaca di mana beliau dianggap telah bersalah di mahkamah umum. Lebih malang ada yang ibarat dicucuk hidung dan terus mempercayainya tanpa keterangan Carlos Ghosn atau sabitan hukuman mahkamah.

Pada pagi 8 Januari, Carlos Ghosn tampil di mahkaman Tokyo bagi menghadapi dakwaan terhadap kes pecah amanah.

Serentak dengan itu juga peguam beliau di Amerika Syarikat mengeluarkan kenyataan rasmi seperti di bawah bagi menjawab segala tuduhan:

Kenyataan Carlos Ghosn

Yang Arif,

Saya bersyukur kerana akhirnya mempunyai peluang untuk bercakap secara terbuka. Saya berharap untuk memulakan proses mempertahankan diri terhadap tuduhan yang telah dibuat terhadap saya.

Pertama sekali, ingin saya katakan bahawa saya mempunyai rasa sayang dan penghargaan yang mendalam untuk Nissan.

Saya sangat yakin bahawa dalam semua usaha saya bagi pihak syarikat, saya telah bertindak dengan secara hormat dan sah, dan ianya dalam pengetahuan dan kelulusan pegawai yang berkenaan di dalam syarikat – ia adalah hanya untuk tujuan utama iaitu bagi menyokong dan mengukuhkan Nissan dan membantu memulihkan kedudukannya sebagai salah satu syarikat terbaik dan paling dihormati di Jepun.

Sekarang saya ingin menangani dakwaan tersebut.

1. Kontrak Tukaran Asing (FX Forward)

Apabila saya menyertai Nissan dan berpindah ke Jepun hampir 20 tahun yang lalu, saya mahu dibayar dalam dolar A.S. Walaubagaimanapun saya diberitahu bahawa ia tidak boleh dilakukan dan saya diberi kontrak pekerjaan yang memerlukan saya dibayar dalam yen Jepun.

Saya seorang yang asasnya di A.S. – anak saya tinggal di A.S. dan saya mempunyai hubungan yang kuat dengan Lubnan, di mana mata wangnya mempunyai kadar pertukaran tetap terhadap dolar A.S.

Saya mahukan suatu yang boleh diperkira dalam pendapatan saya untuk membantu saya menjaga keluarga.

Kredit foto: Nissan

Untuk menangani isu ini, saya menandatangani kontrak pertukaran mata wang asing sepanjang tempoh perkhidmatan di Nissan bermula pada tahun 2002. Dua kontrak tersebut adalah isu dalam perbicaraan ini.

Satu telah ditandatangani pada tahun 2006, ketika harga saham Nissan adalah sekitar 1,500 yen dan kadar yen / dolar sekitar 118. Satu lagi ditandatangani pada tahun 2007, ketika harga saham Nissan sekitar 1,400 yen dan nilai tukar yen / dolar sekitar 114.

Krisis kewangan 2008-2009 menyebabkan saham Nissan jatuh hingga 400 yen pada bulan Oktober 2008 dan jatuh 250 yen pada Februari 2009 (turun lebih daripada 80% dari kemuncaknya) dan yen / nilai tukar dolar turun di bawah 80.

Ia adalah bencana yang tidak ramal oleh sesiapa. Seluruh sistem perbankan terganggu dan bank meminta menambah cagaran dalam kadar segera terhadap kontrak, yang mana saya tidak dapat menyediakannya.

Saya berhadapan dengan dua pilihan:

1. Mengundurkan diri dari Nissan, supaya saya dapat menerima elaun persaraan saya yang saya dapat gunakan untuk menyediakan cagaran yang diperlukan. Tetapi saya mempunyai tanggungjawab moral kepada Nissan untuk tidak meletak jawatan pada tempoh yang kritikal itu, seorang kapten tidak melompat keluar di tengah-tengah ribut.

2. Meminta Nissan supaya mengambil cagaran tersebut dengan sementara, selagi ia tidak memberi sebarang kos kepada syarikat, sementara saya mengumpulkan cagaran dari sumber saya yang lain.

Saya mengambil pilihan 2. Kontrak FX kemudiannya dikembalikan kepada saya tanpa Nissan menanggung sebarang kerugian.

2. Khaled Juffali

Khaled Juffali ialah seorang yang telah lama dalam mendokong dan rakan kongsi Nissan. Semasa tempoh yang sangat sukar, Syarikat Khaled Juffali telah membantu Nissan mendapatkan pembiayaan dan membantu Nissan menyelesaikan masalah rumit yang melibatkan pengedar tempatan.

Juffali turut membantu Nissan menyusun semula pengedar yang bermasalah di rantau Arab dan membolehkan Nissan untuk bersaing dengan lebih baik dalam berhadapan Toyota yang berada di hadapan Nissan.

Juffali turut membantu Nissan dalam perundingan bagi pembangunan kilang pembuatan di Arab Saudi, serta membantu dalam mengadakan mesyuarat peringkat tinggi dengan pegawai kerajaan Arab Saudi.

Syarikat Khaled Juffali telah diberi imbuhan dengan sewajarnya – jumlah yang dimaklumkan kepada dan diluluskan oleh pegawai yang berkenaan di Nissan, sebagai pertukaran untuk perkhidmatan penting yang memberi manfaat kepada Nissan.

Kredit: Nissan

3. Tuduhan Undang-Undang Instrumen Kewangan dan Tukaran (Financial Instruments and Exchange Law Japan)

Empat syarikat utama berusaha untuk mendapatkan saya semasa saya bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, termasuk Ford (oleh Bill Ford) dan General Motors (oleh Steve Rattner, dan kemudian individu utama dibawah Presiden Barack Obama).

Walaupun perancangan mereka sangat menarik, saya secara nurani tidak dapat membiarkan Nissan semasa kami berada di tengah-tengah program pemulihan. Nissan adalah sebuah syarikat Jepun yang ikonik dan saya begitu mengambil berat tentangnya.

Walaupun saya memilih untuk tidak mengejar peluang lain, saya menyimpan rekod imbuhan mengikut kadar pasaran untuk rekod saya, di mana syarikat-syarikat tersebut menawarkan saya jika saya bersetuju mengambil jawatan yang ditawarkan.

Ini merupakan penanda aras dalaman yang saya simpan untuk rujukan masa depan saya sendiri, ia tidak mempunyai impak  undang-undang dan ia tidak pernah dikongsi dengan para pengarah dan ia tidak mewakili apa-apa komitmen yang mengikat.

Nissan Skyline V36. Kredit: Nissan

Malah, pelbagai cadangan untuk khidmat nasihat tidak bersaing dan selepas persaraan oleh beberapa ahli lembaga pengarah tidak melambangkan atau merujuk kepada pengiraan dalaman saya dan menjadi panduan perkiraan mereka dan yang tidak mengikat.

Berbeza dengan tuduhan yang dibuat oleh pihak pendakwaraya, saya tidak pernah menerima apa-apa imbuhan daripada Nissan yang tidak didedahkan dan saya juga tidak menandatangani kontrak mengikat dengan Nissan untuk dibayar jumlah tetap yang tidak didedahkan.

Apatah lagi, saya memahami bahawa sebarang draf cadangan untuk pampasan selepas persaraan telah disemak oleh peguam dalaman dan luaran, menunjukkan saya tidak mempunyai niat untuk melanggar undang-undang.

Bagi saya, ujian itu adalah “ujian kematian”: jika saya mati hari ini, bolehkah waris saya membuat Nissan membayar apa-apa selain elaun persaraan saya? Jawapannya adalah “Tidak.”

4. Sumbangan kepada Nissan

Saya telah mendedikasikan dua dekad kehidupan saya untuk menghidupkan semula Nissan dan membina Perikatan (Alliance – Renault, Nissan, Mitsubishi). Saya bekerja untuk matlamat ini siang dan malam, di darat dan di udara, bekerja dengan kakitangan Nissan yang rajin di seluruh dunia untuk mencipta nilai. Hasil daripada usaha kami adalah luar biasa.

Kredit: Nissan

Kami berjaya dalam tranformasi Nissan, berubah dari hutang sebanyak 2 trilion yen pada tahun 1999 kepada wang tunai sebanyak 1.8 trilion yen pada akhir tahun 2006, dari 2.5 juta kereta yang dijual pada tahun 1999 dengan jumlah kerugian yang besar kepada 5.8 juta kereta yang dijual pada tahun 2016. Aset aset Nissan juga meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tersebut.

Kami menyaksikan kebangkitan semula model ikonik seperti Fairlady Z dan Nissan GT-R, program perindustrian Nissan ke Wuhon, China, St. Petersburg, Rusia, Chennai, India, dan Resende, Brazil.

Kami juga perintis pasaran massa untuk kereta elektrik melalui LEAF, pelancaran kereta autonomi, kemasukan Mitsubishi Motors ke dalam Perikatan dan menjadi kumpulan automotif nombor satu dunia pada tahun 2017.

Kami menghasilkan lebih daripada 10 juta kereta setiap tahun. Kami mencipta secara langsung dan tidak langsung, pekerjaan yang tidak terkira banyaknya di Jepun dan menghidupkan semula Nissan sebagai satu tunggak ekonomi Jepun.

Pencapaian ini yang dijayakan oleh pasukan pekerja Nissan di seluruh dunia adalah kegembiraan terbesar dalam hidup saya, selain daripada keluarga saya.

5. Kesimpulan

Yang Arif, saya tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibuat terhadap saya. Saya sentiasa bertindak dengan penuh integriti dan tidak pernah dituduh melakukan salah laku dalam kerjaya profesional saya selama beberapa dekad.

Saya telah dituduh dengan salah dan ditahan secara tidak adil berdasarkan tuduhan tanpa merit dan tidak berasas.

Terima kasih, Yang Arif, kerana mendengar saya.

Sumber: Reuters

BACA: NISSAN SERENA J IMPUL BAHARU – LEBIH MEWAH, BERMULA RM147,800 SEUNIT

BACA: INI KISAH BAGAIMANA NAMA NISSAN SUNNY DIPILIH DAN PERSAMAAN DENGAN PROTON SAGA

Tags
Google ads
Back to top button
Close