Artikel PilihanBuletin

INI LIMA PERKARA YANG KAMI SUKA TENTANG PROTON X70

Akhirnya setelah hampir 18 bulan perjanjian di antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holdings dimeterai, Proton X70 selamat dilancarkan pada 12 Disember 2018.

Geely Boyue pertama kali dipamerkan kepada umum pada 23 Jun 2017 dan sepanjang tempoh tersebut kedua-dua Geely dan Proton sibuk menyempurnakan X70 supaya sesuai dengan citarasa pengguna tempatan.

Jurutera dan pereka Proton dihantar ke pusat penyelidikan dan pembangunan Geely yang sebahagian besarnya ditumpukan kepada kerja-kerja penukaran pemanduan sebelah kiri ke sebelah kanan.

Ini melibatkan kerja kejuruteraan yang besar dan bukan setakat ‘rebadge’ atau penukaran emblem sahaja.

Proton X70 tampil ‘Malaysia’ apabila diperhalusi dengan ciri-ciri tempatan seperti corak songket, ukiran dan busur pada bahagian dalaman dan luaran.

Selain itu, sistem multimedia dan kawalan kelengkapan dengan arahan suara (voice control) pula diprogramkan semula mengikut lenggok bahasa Inggeris tempatan.

Apa yang kami suka tentang Proton X70? Berikut ialah lima ciri-ciri utama yang kami suka tentang SUV ini

1. Segmen SUV

Segmen ini sedang meningkat naik di serata dunia dan tidak terkecuali di negara kita. Lihat sahaja jumlah tawaran dalam segmen ini, Honda CR-V, Mazda CX-5, Nissan X-Trail, Kia Sportage, Hyundai Tucson, Peugeot 3008, Volkswagen Tiguan, Mitsubishi Outlander dan Renault Koleos.

Banyak bukan? Itu belum termasuk SUV segmen B seperti Honda HR-V dan Mazda CX-3.

SUV dilihat ideal kerana jarak kelegaan bumi yang tinggi dan sesuai untuk melalui pelbagai jenis permukaan jalan dan cuaca. SUV juga selesa untuk pemandu dan penumpang selain jarak penglihatan yang jauh dan luas.

Di dalam kesemua model yang disebutkan tadi, Proton X70 tampil dengan harga paling rendah dan berteknologi tinggi. Timbul pula persoalan tentang harganya?

Pemilik SUV biasanya terdiri daripada golongan pemandu yang menaik taraf dari kereta sedan dan menukar beli (trade in) kereta sedia ada.

Jarang pembeli SUV adalah pembeli pertama namun khabarnya Proton bakal menawarkan SUV segmen B pada harga mampu milik di masa hadapan.

2. Kelengkapan canggih

Proton X70 2WD Premium yang berharga RM 123,800 tampil dengan segala teknologi canggih pada kereta hari ini. Namakan sahaja, semuanya ada.

Lampu LED, cermin suria, lampu auto, penggilap cermin auto, kerusi kulit Nappa, penapis udara dalaman, meter digital, arahan suara, sambungan internet 4G, enam beg udara dan sejumlah akronim keselamatan seperti ABS, EBD, BA, Brake Hold, ESC, TCS, HHA, HDC, ESS, AEB, FCW, ACC, LDW, BLIS, IHBC, TPMS dan kamera 360 darjah.

Secara ringkasnya teknologi ADAS atau Advanced Driver Assistance System membolehkan kereta menjalankan fungsi bantuan pemanduan secara automatik seperti menjarakkan dengan kenderaan hadapan, brek kecemasan dan mengawal stereng dari terbabas ke laluan sebelah.

Semuanya ada dan lengkap. SUV setara dengan kelengkapan sebegini biasanya dipasarkan pada harga jauh lebih tinggi dan sesetengah jenama premium sendiri tidak menawarkannya.

Secara peribadi semasa penulis memandu uji kereta lebih canggih dan premium selalu tertanya-tanya bilakah teknologi sebegini dapat ditawarkan pada pelanggan massa.

Proton menjawab pertanyaan tersebut melalui X70.

3. Model global reka bentuk tempatan

Ini adalah kebetulan yang aneh. Geely Boyue direka oleh pasukan pereka yang diketuai oleh Peter Horbury. Beliau adalah tokoh pereka terkenal yang banyak menghabiskan masa bersama Volvo.

Melalui projek ini beliau dan pereka lain banyak menerapkan dan memberi penghormatan kepada elemen tradisional China dan menggunakan harimau sebagai tema utama.

Dalam banyak-banyak syarikat kereta di dunia dengan pelbagai falsafah reka bentuk, Proton ditakdirkan untuk bersama Geely dan projek pertama ialah SUV yang bertemakan harimau.

Harimau Malaya sudah lama menjadi identiti reka bentuk Proton dan kerjasama ini adalah kebetulan sempurna.

Tidak menghairankan apabila Boyue mempunyai banyak persamaan garisan dan bentuk dengan model sedia ada Proton seperti Prevé, Suprima S dan Exora.

Imej harimau yang dibawa X70 nampak jelas pada bahagian depan dan sisi seolah-olah harimau berlari pantas. Pereka Proton kemudiannya memperincikan elemen tempatan seperti songket, busur dan ukiran pada luaran dan dalaman X70.

4. Pelbagai varian untuk pelbagai pelanggan

Jika harga Proton X70 2WD Premium dirasakan tinggi dan terlalu canggih, Proton sedia menawarkan tiga lagi varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD dan Executive AWD.

Varian tersebut masing-masing ditawarkan pada harga RM 99,800, RM 109,800 dan RM 115,800. Ketiga-tiga varian ini tidak mempunyai perbezaan ketara kecuali di antaranya sistem bantuan pemanduan ADAS, kerusi kulit Nappa, cermin suria dan saiz roda.

Perbezaan julat harga ansuran bulanan di antara satu varian ke satu varian ialah dari RM 100 hingga ke RM 300. Selain itu, kesemua varian Proton X70 didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Maknanya pandulah sejauh mana yang anda mahu dalam masa lima tahun kerana ia dilindungi oleh waranti Proton.

5. Selamat dengan lima Bintang Asean NCAP dan teknologi canggih

Proton X70 telah menjalani ujian pelanggaran dan memperolehi keputusan lima bintang Asean NCAP. Walaupun teknologi bantuan pemanduan canggih ADAS dilengkapi pada varian 2WD Premium, varian lain masih dilengkapi teknologi keselamatan yang baik.

Tiga varian lain dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti enam beg udara, ABS, EBD, BA, Brake Hold, ESC, TCS, HHA, HDC, ESS.

Sama seperti model Proton lain iaitu Prevé, Suprima S, Iriz dan Persona, beberapa bahagian struktur X70 turut dibina menggunakan teknologi hot press forming (HPF) yang terbukti kukuh dalam melindungi pemandu dan penumpang.

Kesimpulan

Proton X70 ini tampil cemerlang dengan ciri-ciri dan teknologi baharu dalam memberi faedah dan kepentingan kepada pengguna.

SUV pertama Proton ini juga hadir dengan pakej lengkap bermula dari julat harga berpatutan sehingggalah kepada khimat lepas jualan.

Pihak pengedar Proton telah menunjukkan komitmen tinggi apabila melabur jutaan ringgit dalam menaik taraf sejumlah pusat servisnya kepada 3S dan 4S demi memastikan kepuasan pelanggan.

Respon awal Proton X70 juga bagus apabila jumlah tempahan sebelum pelancaran sudah pun mencecah sepuluh ribu unit.

Jika anda berminat, sila pandu uji terlebih dahulu di bilik pameran berdekatan dan rasainya sendiri. Tiada paksaan dan pertimbangkan model ini dari segi harga, kegunaan, keselesaan dan kos pemilikan.

Sebelum itu di bawah ialah laporan pandu uji Geely Boyue di di Baoji, Xi’an China oleh penulis kami pada Mei lalu.

BACA: PANDU UJI: GEELY BOYUE – KENAPA SUV INI BEGITU MEYAKINKAN?

Google ads
Back to top button