Buletin

INI TOYOTA YARIS UNTUK WRC 2019, KIT BADAN SEPERTI PESAWAT TEMPUR!

SHARE
New Triton 4Sure Power -MREC – Desktop

Kali terakhir Toyota menyertai Kejuaraan Rali Dunia (WRC) ialah pada tahun 1999 dengan model Corolla (E110) hatchback. Toyota mengambil keputusan untuk keluar kerana ingin memberikan fokus kepada prototaip Le Mans dan Formula 1.

Selepas 18 tahun, pengeluar Jepun ini kembali  pada 2017 dengan pasukan baharu TOYOTA GAZOO Racing WRT. Toyota memulakan kempen dengan gah apabila pasukan itu diuruskan oleh Tommi Mäkinen, juara pemandu empat kali WRC.

Kejayaan tidak datang sekelip mata, pada 2018 barulah pasukan ini memperoleh kejuaraan pengeluar WRC selepas dua musim bertarung. Ini adalah kejuaraan pengeluar WRC kali keempat buat Toyota sepanjang sejarah rali dunia dan kali pertama sejak 1999.

Menyebut tentang sejarah WRC, musim yang diingati ramai ialah kereta kumpulan B yang kecil dengan kuasa yang sangat ganas.

Pada masa itu teknologi keselamatan bukan seperti sekarang dan dek kerana tidak sepadan dengan kuasa, kereta berkuasa ‘gila’ tersebut dihentikan.

Berpuluh tahun selepas era tersebut, jelmaan kereta kumpulan B kepada musim sekarang. Perhatikan kereta-kereta kompak yang bertanding, kuasanya gila dengan kit badan ekstrem supaya tidak tersasar tanpa hala tuju.

Lihat Hyundai i20, Ford Focus, Citroën C3 dan Toyota Yaris. Kesemuanya tampil dengan kit badan lebar dengan spoiler bertingkat.

WRC musim 2019 bakal bermula tidak lama lagi dan pada 12 Januari lalu TOYOTA GAZOO Racing WRT telah melancarkan Yaris WRC di hadapan ribuan pengunjung Autosport International di Birmingham, England.

WRC 2019 dijangka sengit dan menarik apabila juara pemandu sembilan kali, Sebastien Loeb akan bersama pasukan Hyundai untuk enam pusingan rali.

Ini kali pertama Loeb menandatangani kontrak dengan pasukan luar selepas 20 tahun bersama kumpulan PSA. Loeb sebenarnya telah bersara tetapi kembali semula ke tiga pusingan WRC musim lalu bersama Citroën dan menjuarai rali Sepanyol.

Untuk musim ini Toyota masih mengekalkan pasangan Ott Tänak/Martin Järveoja dan Jari-Matti Latvala/Miikka Anttila. Pasangan baharu musim ini ialah Kris Meeke dan Seb Marshall.

Musim ini terasa hangat kerana Toyota pasti hendak mempertahankan kejuaraan manakala pasukan lain seperti M-Sport Ford, Hyundai dan Citroën tidak akan duduk diam. Toyota tampil bersemangat dengan motto ALL FOR THE WIN!

Berikut ialah spesifikasi asas Toyota Yaris WRC:

  • Enjin: 4 silinder, 1600 cc turbo
  • Kuasa: 380 PS, 425 Nm
  • Kotak gear: 6 kelajuan tukaran hidraulik
  • Pacuan: 4WD
  • Brek: 300mm (tanah) / 370mm (aspal)
  • Panjang: 4085mm
  • Lebar: 1875mm
  • Jarak roda: 2511mm
  • Berat: 1190kg
  • Kelajuan maksimum: 201km/j

BACA: DI AUSTRALIA, TOYOTA TAWAR PULANGAN WANG JIKA KENDERAAN TIDAK BOLEH DIBAIKI

BACA: PADA JANUARI 1986, TOYOTA PERKENAL STARLET 2E TURBO

Tags
Google ads
Back to top button