
INILAH TVR SCAMANDER – BUKAN KENDERAAN SCAMMER TAPI PROTOTAIP AMFIBIA DENGAN REKAAN UNIK
TVR menempa nama sebagai antara kereta sports popular buatan British tapi rupanya bukan semua kenderaan dihasilkan untuk dipecut di atas litar. Prototaip aneh ini contohnya dihasilkan oleh bekas pemilik TVR, Peter Wheeler sebagai projek khas beliau. Kini video dari ‘Harry’s Garage’ berjasa mengesan prototaip tunggal Scamander dan membuatkan kita sedar bahawa banyak lagi model-model pelik pernah dihasilkan oleh pereka-pereka automotif di seluruh dunia.

Menurau anak lelaki Wheeler, prototaip ini kali terakhir dipandu pada sekitar tahun 2012 atau 2013 dan kemudian tersadai di dalam garaj milik keluarga. Sudah tentu ini bukan garaj biasa-biasa sebab ia kelihatan terjaga dan bukannya berkulapuk ataupun berlumut macam yang biasa kita tengok video-video sebelum ini.
Enjin 3.0 liter V6 buatan Ford yang digunakan prototaip ini berjaya dihidupkan dengan mudah selepas lebih 10 tahun membuktikan ia memang diselenggara dengan baik sebelum direhatkan. Signal masih berfungsi begitu juga dengan pengelap cermin.

Kenderaan ini tidak mempunyai pintu seperti kereta teapi menggunakan penutup kanopi ala pesawat pejuang dan itu pun masih berfungsi dengan baik. Cuma satu daripada kamera pandang belakang sisi masih berfungsi dan bahagian lain sudah tentu masih boleh diperbaiki.
Beberapa perapian dan pembaikian perlu dilakukan untuk membolehkan ia bergerak secara sah di atas jalan raya dan itu boleh diselesaikan dalam sedikit masa.
Mesti ramai yang sangkakan ini sebuah kenderaan pacuan empat roda seperti kenderaan amfibia lain tapi rupanya Wheeler menggunakan sistem pacuan dua roda untuk menjimatkan berat. Ia menggunakan transmisi automatik.
Kabinnya mempunyai tiga tempat duduk dengan pemandu berada di tengah-tengah diapit oleh dua penumpang kiri dan kanan. Kira ala McLaren F1 la ni. Enjin pula berada di belakang tempat duduk penumpang dan ditutup oleh sekeping pelindung yang boleh ditanggalkan untuk penyelenggaraan.
Kedua tempat duduk penumpang boleh dilipat untuk membawa pengusung macam ambulan dan kolum stereng boleh diangkat untuk memudahkan pemandu keluar masuk kenderaan pelik ni.
Wheeler telah menjual TVR pada tahun 2005 sebelum Scamander disiapkan. Beliau bagaimanapun masih berusaha untuk menyempurnakan prototaip ini sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2009. Harap-harap prototaip ini akan berjaya dikembalikan kepada keadaan asal dengan usaha anak cucu beliau.
Sumber: Harry’s Garage dan Motor1.com