KYMCO DEDAH PROTOTAIP SKUTER ADVENTURE CV-R5 DI CHINA – ENJIN 427CC, 40.2NM
Jenama skuter Taiwan, Kymco sekali lagi berjaya mencuri perhatian ramai kali ini menerusi model prototaip, CV-R5.
Didedahkan di Taiwan, Kymco CV-R5 dilaporkan bakal menjadi taruhan baharu jenama itu pada masa akan datang.
Menariknya, ketika pengeluar lain menjadikan Honda X-ADV sebagai rujukan dalam penghasilan skuter adventure, Kymco CV-R5 ini kelihatan lebih original.
Walaupun maklumat terperinci masih samar ketika ini namun difahamkan CV-R5 ini dikuasakan enjin 427cc yang berupaya menjana 40.2Nm. Ketika ini tidak dinyatakan sama ada platform diguna pakai merujuk kepada satu atau dua silinder.
Bagaimanapun, mengambil kira Kymco ketika ini mempunyai model 400 dan 500cc ini bermakna enjin 427cc ini adalah platform serba baharu.
Selain itu, kami mengenal pasti beberapa perincian lain antaranya fork USD, handguard, panel meter TFT, pencahayaan LED, serta cakera brek berkembar dengan ABS.
Namun, ciri paling mencuri tumpuan adalah penggunaan rantai seperti X-ADV berbanding skuter maxi konvensional yang menggunakan ‘belt’ (tali sawat).
Difahamkan, Kymco akan mendedahkan CV-R5 sewaktu di EICMA yang akan berlangsung pada November tahun ini.