
TESLA CYBERTRUCK DIKESAN LAGI, BILA NAK LAUNCH NI MAS ELON?
Sebuah model prototaip Tesla Cybertruck kali ini dikesan sedang melakukan ujian pemanduan dalam dunia sebenar di sekitar ibu pejabat Tesla di Palo Alto, Amerika Syarikat.
Difahamkan, trak pikap elektrik ini sedang menjalani program ujian beta sehingga sekurang-kurangnya musim panas ini, di mana produksi dijadualkan akan bermula.
Apa yang menarik pada unit prototaip ini ialah kehadiran cermin sisi berbentuk segi tiga, yang mana ia nampak lebih seimbang dengan rekaan keseluruhan trak tersebut.
Pada asalnya, Tesla mahu memadankan trak itu dengan unit kamera sisi namun undang-undang Amerika Syarikat masih lagi belum membenarkan penggunaan kamera sisi pada kenderaan produksi buat masa ini.
Dua lagi ciri yang boleh dikesan pada unit prototaip ini ialah kehadiran tonneau cover pada bahagian bed belakang, serta tingkap sisi yang boleh dibuka.
Menurut CEO Tesla, Elon Musk dalam satu hantaran di Twitter menjelaskan beliau sudah pun melihat versi produksi beta Cybertruck dan menyifatkannya sebagai satu perkara yang “luar biasa”. – InsideEVs








