Buletin

ISTERI KETIGA MENGAKU ROSAKKAN CERMIN MERCEDES-BENZ DAN HONDA GOLD WING SUAMI

Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kemaman, Terengganu hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan motosikal berkuasa tinggi serta cermin kereta milik suaminya, Ahad lalu.

Siti Fazira Mohd Sofian, 28, yang juga isteri ketiga bagaimanapun mengaku bersalah atas perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Armida Shasha Amir.

Tertuduh seorang peniaga kedai emas didakwa sengaja melakukan khianat dengan mengetuk cermin hadapan dan belakang kereta jenis Mercedes-Benz dan merosakkan bahagian belakang motosikal berkuasa tinggi Honda Gold Wing.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan bakul mengisi buah, pada jam 2.15 petang, di kediaman madunya iaitu isteri kedua di sebuah rumah di Chukai, Kemaman.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mac depan untuk fakta dan hukuman. – Harian Metro

Google ads
Back to top button