Buletin

BASIKAL BUKIT ELEKTRIK AUDI, RM45.4 RIBU SAHAJA!

Kepada yang terasa berat untuk mengayuh atau memerlukan bantuan, sudah ada basikal di pasaran yang menggunakan kuasa elektrik. 

Kayuh tetap kayuh dan tenaga elektrik mampu mengurangkan kudrat manusia dan melancarkan kayuhan.

Di pasaran ada pelbagai jenama yang ditawarkan termasuk Audi yang baru sahaja melancarkan basikal bukit elektrik yang dikuasakan Fantic.

Basikal bukit itu diletakkan di bawah Audi Genuine Accessories dan satu daripada siri produk mobiliti elektrik Audi.

Jenama dari Jerman itu bukan baharu dengan off-road dan memahat sejarah dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan teknologi pacuan semua roda quattro pada era 80-an dan juga membentuk DNA Audi.

Walaupun tidak lagi bersaing di dalam WRC, Audi giat dalam dunia padang pasir dan Rali Dakar dengan jentera RS Q e-tron E2 yang menjadi inspirasi reka bentuk basikal bukit Audi.

Kelebihan utama basikal ini terletak pada kayuhan downhill dengan jarak suspensi 180 mm, rim lebar dan tayar off-road.

Rangka basikal jenis enduro diperbuat daripada aluminium ringan dan direka untuk posisi tunggangan bersahaja supaya penunggang dapat bertindak balas dengan baik kepada halangan dan laluan di depan.

Pek bateri Fantic Integra 36 Volt, 720 Wj dipasang di dalam rangka dan ditanda dengan grafik e-tron.

Bateri itu membekalkan tenaga kepada motor Brose S-MAG 36 Volt 250 dan mempunyai daya kilas sehingga 90Nm.

Basikal bukit ini mempunyai empat tahap bantuan elektrik iaitu Eco, Tour, Sport dan Boost.

Eco ditetapkan untuk memberikan kecekapan maksimum dan jarak dengan bantuan elektrik biasa manakala Tour dengan lonjakan kuasa yang lebih tinggi.

Sport pula memberikan bantuan elektrik yang berkuasa dan Boost pada kadar maksimum untuk laluan berbukit dan mencabar

Paparan digital yang terletak pada hendal menyediakan maklumat seperti kuasa bateri dan kelajuan.

Apabila kuasa bateri menyusut di bawah sepuluh peratus, indikator tahap cas akan mula berkelip pada sudut kanan atas paparan.

Kepada yang berminat, harga basikal elektrik Audi ditawarkan daripada 45,462.96 pound (RM45,456.12).

Spesifikasi basikal bukit elektrik Audi yang dikuasakan Fantic:

  • Rangka: Aluminium dan karbon saiz S,M,L
  • Motor: Brose S-MAG 36 Volt 250 Watt, 90 Nm
  • Bateri: Brose S-MAG 36 Volt 250 Watt, 90 Nm
  • Sepit udang: Öhlins -RXF38 M.2 29, travel 180 mm
  • Penyerap hentak: Öhlins TTX 22M T205x65, spring
  • Tuil gear: Sram GX Eagle 12 V (klik tunggal)
  • Gear belakang: SRAM GX Eagle 12v
  • Brek: IN.CA.S, cakera 220 mm disc – 203 mm
  • Batang pelana: 30,9-100 mm/ 125 mm-CAVO-INT
  • Pelana: Sella Italia Novus Boost EVO
  • Hendal: Renthal FATBAR V2 800 mm – 35 RISE 20
  • Pemegang hendal: Renthal APEX 40 mm – 35 RISE6°
  • Gegancu: Sunrace SilverRed 12 V, 11-51
  • Rim: Mavic E-DEEMAX
  • Tayar: Vittoria E-MAZZA 29“ x 2.6 (depan), Vittoria E-MARTELLO 27,5“ x 2.8 (belakang)

BACA: AUDI 50 LANGKAH KE HADAPAN, CIPTA RIM BAHARU GUNA AI

BACA: AUDI BERI KEUTAMAAN KEPADA REKA BENTUK DALAMAN, FOKUS KEPADA KEPERLUAN MANUSIA

BACA: AUDI TT RS COUPE ICONIC EDITION, NARDO GREY DAN 100 BUAH SAHAJA!

Google ads
Back to top button