
PEMANDU TESLA SEMI TERLELAP, LANGGAR VW. 2 MAUT & 1 KRITIKAL
Sebuah Tesla Semi dilaporkan terlibat dalam kemalangan maut pertama sejak trak elektrik itu memasuki fasa pengeluaran komersial. Insiden yang berlaku di Dayton, Nevada, Amerika Syarikat itu mengorbankan dua mangsa, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
Kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 7.20 pagi pada 28 Jun lalu di persimpangan US Highway 50 dan Traditions Parkway, tidak jauh dari Tesla Gigafactory Nevada yang merupakan lokasi pengeluaran Tesla Semi.
Menurut laporan awal pihak berkuasa, trak elektrik berkenaan dipercayai merempuh dua buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.Dua kenderaan yang terbabit ialah sebuah Volkswagen Beetle klasik dan sebuah Toyota RAV4.
Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan pasangan suami isteri yang menaiki Volkswagen Beetle, Sergio Villanueva dan Jennifer Villanueva, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Seorang lagi mangsa yang berada di dalam Toyota RAV4 mengalami kecederaan serius sehingga mengancam nyawa sebelum diterbangkan ke hospital menggunakan helikopter untuk menerima rawatan lanjut.
Walaubagaimanapun, pemandu Tesla Semi pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan awal yang dijalankan oleh Lyon County Sheriff’s Office mendapati terdapat kemungkinan pemandu Tesla Semi tertidur ketika memandu sebelum kemalangan berlaku.
Namun pihak berkuasa menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan dan punca sebenar insiden masih belum disahkan. Setakat ini, tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap pemandu terbabit sementara menunggu hasil siasatan lengkap.

Kemalangan ini turut mencetuskan persoalan mengenai keberkesanan sistem keselamatan aktif yang dipasang pada Tesla Semi. Tesla sebelum ini menyatakan trak tersebut dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemandu seperti amaran pelanggaran, brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan dan beberapa ciri keselamatan lain.
Tetapi syarikat itu tidak pernah memperincikan bagaimana sistem berkenaan beroperasi atau tahap keupayaannya dalam situasi sebenar. Insiden ini menimbulkan persoalan sama ada sistem brek kecemasan automatik atau ADAS pada Tesla Semi gagal mengesan halangan di hadapan gagal bertindak.
Tetapi sebarang kesimpulan hanya boleh dibuat selepas siasatan rasmi selesai dijalankan. Tesla Semi merupakan trak elektrik komersial pertama keluaran Tesla yang kini sedang memasuki fasa pengeluaran secara lebih meluas di Nevada.
Model ini telah mula dihantar kepada pelanggan komersial seperti PepsiCo dan beberapa syarikat logistik lain sebagai sebahagian daripada usaha Tesla memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik dalam sektor pengangkutan berat.
Kes ini kini disiasat oleh Nevada State Police Highway Patrol yang dijangka meneliti pelbagai aspek termasuk faktor keletihan pemandu, kelajuan, keadaan mekanikal trak serta data daripada sistem elektronik kenderaan.
Hasil siasatan itu dijangka dapat menentukan punca sebenar kemalangan dan sama ada terdapat sebarang kegagalan sistem keselamatan yang menyumbang kepada tragedi tersebut.



