Buletin

ISUZU D-MAX 1.9L JALAN LEBIH 1,000KM, BAWA BEBAN 1 TAN. MASIH ADA BAKI MINYAK. JIMAT BETUL!

Isuzu Malaysia sekali lagi membuktikan penjimatan bahan api trak pikap Isuzu D-Max dengan menguji enjin 1.9 liter Blue Power dalam satu lagi cabaran ekstrem.

Cabaran D-Max 1.9 Blue Power Dura Challenge menyaksikan sebuah D-Max 1.9 liter Single Cab dimuatkan dengan beban maksimum sehingga satu tan sebelum dipandu melalui kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa. Perjalanan lebih 1,000km dicapai dengan bahan api masih berbaki dua takuk.

“Walaupun ia sebuah trak pikap dengan kapasiti enjin paling kecil dalam pasaran, Isuzu D-Max 1.9 Blue Power menyelesaikan cabaran berkenaan dengan mudah.

“Ini jelas membuktikan ia mampu menggalas apa sahaja tugasan yang diberikan kepadanya,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Sebelum memulakan perjalanan dari kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang, pemeriksaan menyeluruh dilakukan oleh PUSPAKOM. Ini bagi mengesahkan ia merupakan unit standard yang sama di bilik pameran. Selain  mengesahkan beban yang dibawanya melebihi 1,000kg.

Dengan ruang kargo, bonet dan tangki minyak dikunci, trak pikap itu menuju ke Utara untuk cabarannya yang pertama — Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Jeli, Kelantan dengan Grik, Perak.

Ia melibatkan laluan mendaki berketinggian 1,052m sebelum tiba di Ipoh untuk menamatkan cabaran hari pertama.

Cabaran hari kedua nyata lebih sukar apabila trak pikap itu terpaksa mendaki ketinggian 1,112 meter ke Tanah Rata, Cameron Highlands sebelum meneruskan perjalanan ke Fraser’s Hill (1,222m) melalui Raub.

Kemudian, cabaran perjalanan lebih getir apabila merentasi laluan mendaki setinggi 1,604m menuju ke Genting Highlands sebelum menamatkan perjalanan di Pusat Servis Isuzu di Shah Alam. Perjalanan itu merekodkan jarak sejauh 1,145km.

Dengan purata penggunaan bahan api 7.2l/100km (13.7 km/l) berdasarkan bacaan pada meter, D-Max 1.9 liter Single Cab tiba di lokasi akhirnya dengan bahan api yang masih banyak di dalam tangki berkapasiti 76 liter itu.

“Enjin 1.9 liter RZ4E-TC ialah enjin paling cekap pernah dihasilkan oleh Isuzu Motors. Memang ada kenderaan lain boleh menjelajah jarak yang jauh dengan hanya satu tangki bahan api, sesetengah yang lain pula boleh membawa beban 1 tan serta melalui jalan mendaki dipergunungan.

“Tetapi, untuk sebuah kenderaan mampu melakukan ketiga-tiganya sekali dengan cemerlang, ia sesuatu yang menakjubkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura.

Dikuasakan oleh enjin 1.9 liter Blue Power diesel terkini yang menghasilkan lebih kuasa dan tork berbanding model dengan enjin 2.5 liter yang digantinya, Isuzu D-Max Single Cab memaksimumkan prestasinya melalui inovasi teknologi.

Ini termasuklah rekaan kebuk pembakaran dan intake manifold, sistem suntikan minyak baru yang menjadikan bahan api disemburkan dengan lebih tepat dan optimum. Selain pengecas turbo Variable Geometry (VGS) yang menjadikan enjin lebih responsif dalam julat yang lebih luas.

Dengan gabungan komponen enjin yang kurang geseran serta disaluti Molybdenum dan Graphite, enjin 1.9 liter Blue Power nyata lebih tahan lasak. Pada masa yang sama dapat mengurangkan tekanan pada komponen.

Ini menyumbang kepada pengurangan berat enjin sehingga 56kg, menjadikan D-Max 1.9 liter Blue Power antara trak pikap yang boleh diharap dan paling mampu milik di dalam pasaran tempatan kerana kos selenggara dan cukai jalan yang rendah.

Semua model Isuzu D-Max termasuk 1.9 liter Single Cab didatangkan dengan tempoh jaminan lima tahun atau 150,000 km.

Maklumat lanjut mengenai model D-Max yang lain, si layari laman web: www.isuzu.net.my/pickup atau laman sosial Isuzu Malaysia @ISUZU.DMax.Malaysia.

GALERI

Google ads
Back to top button