Artikel Pilihan

ISUZU DMAX 1.9 Ddi BLUEPOWER – MAKIN KECIL MAKIN BERKUASA

Sebelum Isuzu DMAX 1.9L Ddi BluePower ini dilancarkan minggu lepas, kami telah menerima jemputan dari Isuzu Malaysia untuk sesi pandu uji dari Krabi ke Phuket di negara gajah putih, Thailand.

DMAX bukannya satu nama baharu dalam pasaran trak pikap di Malaysia tapi angka 1.9 itu memang menarik perhatian kami? Kurang dari 2 liter, mampu ke DMAX dengan enjin baru ni mengekalkan reputasi mereka yang terkenal dengan kelasakan dan penjimatan bahan api?

Dengan seribu pertanyaan kami terbang ke Krabi bersama pihak Isuzu dan rakan media lain untuk merasa sendiri bagaimana DMAX dengan enjin yang paling kecil untuk segmen trak pikap di Malaysia berfungsi. Mampukah ia mengekalkan reputasi sebagai pikap yang lasak dan boleh diharap seperti sebelumnya?

Sebaik mendarat di Krabi kami dibawa ke sebuah restoran makanan laut terkenal di mana 10 unit Isuzu DMAX 1.9L BluePower sedang menunggu kami untuk sesi pandu uji ini. Kesemua Isuzu DMAX yang disediakan merupakan model untuk pasaran Malaysia dan dibawa ke Thailand khusus untuk sesi pandu uji ini. Sebaik siap dipasang di Pekan, Pahang, kesemua 10 unit DMAX ini segera didaftarkan dan dibawa ke Krabi untuk dibelasah oleh pihak media.

Berbeza dari model sebelumnya kini ia kelihatan lebih sporty dengan rim bersaiz 18 inci dan running board dengan warna sedondon. Bahagian dalamannya juga kini nampak lebih sporty dengan susun atur yang ringkas, tempat duduk adunan kulit dan fabrik dan penggunaan material yang lebih lembut pada bahagian kulit pintu dan papan pemuka.

Perjalanan dari Krabi ke Phuket adalah sejauh hampir 200 kilometer dan melalui jalan-jalan persekutuan dan luar bandar yang dipilih khusus untuk menguji kemampuan enjin baru DMAX 1.9L ini.

Walaupun enjin DMAX ini lebih kecil daripada sebelumnya, ia adalah lebih berkuasa dengan peningkatan 10 peratus menjadikan 105 PS kuasa maksima dan 350 Nm tork (enjin 2.5L lama pula menghasilkan 136 PS/320 Nm).

Malah kuasa ini semakin mudah dirasai kerana enjin ini sebenarnya cukup ringan sekali gus memberikan nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik. Bukan itu sahaja, enjin baharu ini turut dibekalkan dengan kotak gear baru 6-kelajuan untuk versi manual dan juga automatik.

Masuk sahaja ke dalam kabin, satu perkara yang kami perasan ialah enjin ini sebenarnya sangat senyap untuk sebuah enjin disel. Jika berada diluar kabin ataupun di hadapan kenderaan, ia masih memiliki bunyi macho yang dihasilkan oleh enjin enjin bahagian dalaman memang sangat selesa dan senyap walaupun ketika dipacu laju untuk memotong kenderaan lain ataupun menaiki kawasan tanah tinggi.

Untuk gaya pemanduan biasa di atas jalan raya ia sebenarnya sudah sangat selesa untuk sebuah trak pikap cuma bila dipandu di jalan-jalan estet ataupun di laluan off-road, suspensi belakangnya mula menunjukkan belang. Tapi bila difikirkan kembali, ini sebenarnya sebuah trak utiliti, takkanlah nak selesa macam sebuah sedan eksekutif kan?

Kami sempat mengujinya di laluan bukit yang berselekoh dan ternyata DMAX ini masih mampu menaklukinya dengan mudah walaupun dengan membawa 3 orang lelaki dewasa dan dipenuhi bagasi.

Dari sudut penjimatan bahan api pula, di atas kertas ia dikatakan 19 peratus lebih menjimatkan berbanding enjin sebelumnya dan kami rasa ia tidak mustahil kerana selepas membelasahnya sejauh 200 kilometer, meter penunjuk bahan api hanya turun sebanyak 2 bar sahaja.

 Dan kini dengan DMAX baru yang dinaiktaraf dari aspek penampilan dan enjin baru, ia kini bukan sekadar sebuah trak utiliti tetapi juga boleh menjadi kenderaan untuk gaya hidup yang rugged dan moden.

Google ads
Back to top button