Buletin

ISUZU D-MAX 2020 – GAYAAN LEBIH AGRESIF. DIJUAL DI THAILAND MINGGU DEPAN. HARGA BERMULA RM70K

Selepas lapan tahun, Isuzu akhirnya melakukan perubahan besar ke atas trak pikap D-MAX. Dilancarkan malam semalam di Thailand, D-MAX serba baharu akan mula dijual pada minggu hadapan di sana. 

Seperti yang boleh dilihat, jentera itu menerima banyak perubahan signifikan. Dari segi gayaan, ia kelihatan lebih agresif dengan gril hitam yang besar, sepasang lampu utama bi-LED bersama garis lampu berbentuk ‘U’, dan bampar hadapan lebih kemas.

Di belakang, ia hadir dengan profail lebih tebal dan lampu LED agar nampak bergaya berbanding sebelumnya.   

Bahagian dalaman D-MAX generasi ketiga mendapat sentuhan reka letak yang moden. Di samping papan pemuka yang padat dengan teknologi.

Ia kini dilengkapi skrin infohibur bersaiz 9-inci bersama ciri Apple CarPlay dan Android Auto, konsol tengah berbentuk ‘V’ dengan kekunci seperti papan piano, butang kawalan pada stereng serta paparan digital bersaiz 4.2 inci pada panel instrumen. 

Trak pikap itu juga menerima tempat duduk hadapan rekaan baru yang didakwa dapat membantu menghalang kecederaan akibat whiplash dan kerusi belakang yang lebih selesa. 

Untuk kelihatan lebih sporty dan mewah, komponen dalaman tampil dengan material bertekstur yang berkualiti tinggi. Pelanggan yang memilih D-MAX untuk tujuan kerja pula pasti berpuas hati dengan reka benuk panel instrumen dan kemasan pintu yang diperbuat daripada plastik tahan lasak. 

Isuzu menggunakan plat besi regangan tinggi 980 MPa untuk membuatkan badan kenderaan ini 20 peratus lebih tegar dan ringan. Bahagian bumbung juga telah diperkukuh dan platform tambahan boleh dipasang berdasarkan kepada keperluan pelanggan. 

D-MAX 2020 dikuasakan oleh dua enjin turbo diesel empat selinder. Enjin 1.9 liter RZ4E yang baru sahaja diperkenalkan ke pasaran Malaysia berupaya menjana kuasa 150PS dan tork 350Nm. Manakala unit enjin bersesaran 3.0L menjanjikan kuasa 190PS dan tork 450NM. 

Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan transmisi automatik yang baru dibangunkan untuk penjimatan dan memberi maklum balas lebih responsif. 

Satu lagi penambahbaikan utama berbanding D-MAX terdahulu bagi versi 4x4x ialah pengenalan propeller shaft tunggal aluminium yang lebih ringan.

Bukan itu sahaja, model 4×4 dilengkapi differential lock belakang elektromagnetik dengan keupayaan off-road lebih baik. Ia dapat mengurangkan masa untuk menukar di antara pacuan 2WD dan 4WD. 

Bagi memberikan kualiti pemanduan lebih stabil, pasukan jurutera Isuzu telah membuat talaan semula ke atas sistem suspensi, brek dan stereng. 

D-MAX 2020 yang dihasilkan di Thailand dijadual diperkenalkan ke pasaran lain seperti Asia, Australia, Afrika Selatan dan Eropah mulai tahun hadapan. Ia akan ditawarkan dalam varian badan cab biasa, space cab dan crew cab bergantung kepada pasaran.     

GALERI

Google ads
Back to top button