
ISUZU D-MAX PALING JIMAT
Isuzu D-MAX terus mendapat perhatian daripada pakar automotif dan para peminat apabila trak pikap itu menerima dua lagi anugerah baru-baru ini ini.
Menerima Anugerah Penjimatan Bahan Api Asian Auto (Asian Auto Fuel Efficiency) untuk enam tahun berturut-turut, Isuzu D-MAX serba baharu kekal menjadi juara dalam aspek penjimatan minyak dalam kalangan trak pikap. Lebih siginifikan lagi, ia menjadi satu-satunya kenderaan yang memenangi anugerah tersebut secara berturut-turut.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida, pengiktirafan konsisten Anugerah Asian Auto Fuel Efficiency merupakan testimoni terhadap kepakaran Isuzu dalam membangunkan enjin yang mampu menawarkan gabungan luar biasa di antara aspek prestasi dan boleh dipercayai.
“Selaku peneraju dalam teknologi enjin diesel, Isuzu sentiasa berusaha untuk menawarkan prestasi enjin yang optimum berdasarkan kepada reka bentuk kenderaan, beban tugas dan corak operasi. Dalam kes Isuzu D-MAX, para pengguna memperoleh antara kenderaan yang paling seimbang di pasaran,” kata Ishida.
“Tidak dapat dikalahkan selama enam tahun berturut-turut menerusi dua generasi Isuzu D-MAX benar-benar membuktikan komitmen Isuzu dalam memastikan para pengguna dapat menikmati pengalaman memandu salah satu kenderaan yang paling menjimatkan bahan api,” tambah Ishida.
Senarai anugerah yang mengagumkan itu bertambah apabila Isuzu D-MAX V-Cross 3.0 serba baharu menerima anugerah industrinya yang pertama iaitu Trak Pikap ‘Best Value for Money’ dari Anugerah Industri Asian Auto Allianz 2014.
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Isuzu diberi anugerah tersebut kerana D-MAX 2.5 liter pernah menerima pengiktirafan yang sama pada tahun 2013. Ia jelas menunjukkan pakej nilai terbaik yang dibawakan oleh Isuzu D-MAX kepada para pelanggannya.
“Anugerah ini adalah perakuan daripada panel juri bahawa Isuzu D-MAX ialah trak pikap paling bernilai dan mempunyai pakej terbaik yang boleh dimiliki oleh para pengguna di pasaran sekarang. Sama ada dari segi reka bentuk, keselesaan, kecanggihan, sofistikasi atau prestasi, D-MAX sememangnya menepati semua kriteria itu dan mampu memenuhi segala keperluan pengguna trak pikap,” jelas Ishida.












