Buletin

PROTON MULAKAN PEMBINAAN KILANG STAMPING DI TG MALIM. PELABURAN RM200 JUTA, SIAP Q3 2022

PROTON memulakan kerja-kerja untuk penambahan baru di kilang Tanjung Malim pada hari ini dengan upacara pecah tanah untuk kilang tempaan (stamping) badan kereta. 

Penambahan fasiliti ini dijangka dapat meningkatkan jumlah pengeluaran sedia ada kerana jentera stamping “Superlarge” yang akan digunakan mampu menambah baik keupayaan PROTON. Ini merupakan sebahagian rancangan Proton untuk meningkatkan tahap penggunaan komponen tempatan bagi model sedia ada dan akan datang.

Pelaburan sebanyak RM200 juta itu adalah sebahagian daripada pelan PROTON untuk menaikkan taraf kilang Tanjung Malim menjadi sebuah kilang pembuatan bertarag dunia. Ia akan membolehkan pengeluaran panel badan yang lebih besar. Selain pelaburan tersebut, RM1.2 bilion telah dibelanjakan untuk saluran pengeluaran baharu pada tahun 2019. 

Proton mengakui pelaburan berkenaan selaridengan strategi perkembangan dan rancangan masa depan kerana ia membolehkan mereka menghasilkan pelbagai model. 

“Walaupun kami berpuas hati dengan kemajuan syarikat setakat ini, PROTON perlu sentiasa bergerak ke depan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Prestasi PROTON meningkat secara mendadak sejak tiga tahun lalu. Syarikat telah melancarkan model baru, meningkatkan penguasaan pasaran, kualiti dan merombak rangkaian pengedarnya. Hasilnya, Proton berjaya menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan di Malaysia yang menambah jualan pada tahun 2020.

“Hala tuju dan perkembangan masa depan PROTON adalah jelas. Malaysia akan tetap menjadi pasaran utama, namun syarikat perlu mempunyai kebolehan untuk bersaing di luar negara. Fasiliti baru ini adalah sebahagian kecil dalam perjalanan itu. 

“Ia amat penting kerana membolehkan penambahan penggunaan komponen tempatan pada masa hadapan. Sekali gus membolehkan PROTON melibatkan lebih ramai vendor tempatan dalam proses pengeluaran, seterusnya   mengembangkan lagi ekosistem automotif tempatan,” kata Dr. Li. 

PROTON akan menempatkan kilang stamping baharu itu bersama saluran pengeluaran sedia ada dan dijangka siap pada suku ketiga 2022.

Google ads
Back to top button