Motosikal

PAK ABU GEMBIRA NAIK MOTOR DENGAN ULAR SAWA 200KG

Baru-baru ini, tular satu klip video yang menunjukkan dua orang lelaki menaiki sebuah motosikal bersama seekor ular sawa batik bersaiz besar. 

Klip video berdurasi 21 saat itu dirakam oleh pengguna jalan raya lain. Apabila tahu aksi mereka dirakam, kedua-dua lelaki itu hanya tersenyum sambil menepuk-nepuk badan ular sawa yang didakwa mempunyai berat 200kg. 

Penunggang lelaki yang katanya dikenali sebagai Pak Abu itu juga mengangkat tangan dengan gembira. Sementara ular berkenaan kelihatan begitu jinak dan melilit pinggangnya. 

Kejadian itu mendapat perhatian Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim. Beliau memberitahu ia dikesan berlaku di Kuala Krai, Kelantan pada 29 Mei lalu.

Ular sawa itu dilapor ditangkap di kebun getah di kampung Lubuk Simpul, Kuala Krai, pada jam 6 petang Jumaat lalu oleh individu bernama Mohd Hamdan Mahadi, 34, dan pemilik kebun getah berkenaan.

Mereka khuatir ular sawa besar itu boleh mengancam keselamatan penduduk. Jadi, reptilia itu kemudian ditangkap dan dibawa menaiki motosikal untuk diserahkan kepada pihak Perhilitan. Mereka sebelum itu bertindak menghubungi petugas Perhilitan Kuala Krai pada jam 12 tengah hari bagi memaklumkan penghantaran reptilia berbahaya itu. 

Hamdan turut memohon maaf atas penularan video itu yang tidak dirancangnya dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. 

“Ular sawa batik itu kemudian diserahkan kepada pihak Perhilitan pada jam 2 petang Ahad lalu, sebelum ditempatkan sementara di sangkar Perhilitan Kuala Krai,” kata Abdul Kadir. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button