Buletin

JAECOO J5 DILANCARKAN TAK LAMA LAGI – ANGGARAN HARGA BERMULA RM110K

OMODA | JAECOO MALAYSIA kini semakin hampir ke tarikh pelancaran rasmi SUV terbaharu mereka, JAECOO J5, yang dijadual berlangsung dalam beberapa minggu lagi.

Menjelang kemunculan sulungnya, jenama itu turut mengumumkan anggaran harga sekitar RM110,000, selain memperkenalkan tawaran tempahan awal khas bernilai RM8,888.

Menurut syarikat, insentif ini diberikan sebagai penghargaan kepada pelanggan yang membuat tempahan lebih awal sebelum pelancaran rasmi bulan depan.

Selain itu, dalam usaha memperkukuh kehadiran di pasaran tempatan, OMODA | JAECOO Malaysia memaklumkan rangkaian pengedarnya telah berkembang kepada 50 pengedar sah pada tahun 2025, dan dijangka meningkat kepada 65 lokasi di seluruh negara menjelang 2026.

Langkah ini bertujuan memastikan akses kepada jualan premium serta perkhidmatan selepas jualan lebih mudah dicapai oleh pelanggan di kawasan utama seluruh Malaysia.

PAKEJ “SUPER EARLY BIRD” UNTUK PELANGGAN TERAWAL

Sempena pelancaran yang bakal tiba serta suasana perayaan, OMODA | JAECOO Malaysia menawarkan ganjaran eksklusif terhad seperti berikut:

JAECOO J5 – nilai ganjaran keseluruhan RM8,888

  • Insurans tahun pertama (RM3,000)
  • Trio aksesori eksklusif (RM2,000)
  • Rebat “Angpow” Tahun Baru Cina (RM3,888)

OMODA C9 PHEV – nilai ganjaran keseluruhan RM4,618

  • Rebat “Angpow” Tahun Baru Cina (RM3,888)
  • Kabel penyambung V2L percuma (RM730)

Sebagai pelengkap imej J5 yang diposisikan sebagai SUV “Urban Explorer”, pelanggan awal turut menerima Trio Aksesori gaya hidup khas, termasuk:

  • Subwufer kereta bagi pengalaman audio lebih mendalam
  • Mikrofon karaoke tanpa wayar yang menjadikan kabin sebagai ruang hiburan bergerak
  • Lampu suluh pelbagai fungsi sesuai untuk aktiviti luar dan keselamatan waktu malam

JAECOO J5:

JAECOO J5 merupakan SUV segmen-B yang lebih kecil serta lebih mampu milik berbanding J7. Model ini tampil dengan dimensi panjang 4,380mm, lebar 1,860mm, tinggi 1,650mm serta jarak roda 2,620mm.

Dari sudut rekaan, J5 masih mengekalkan DNA J7 dengan garisan badan yang lurus dan kemas, sekali gus memberikan aura premium yang mengingatkan kepada gaya SUV mewah seperti Range Rover.

Bahagian kabin pula mengambil inspirasi jelas daripada J7, menampilkan skrin infotainmen potret bersaiz 13.2-inci, kluster meter digital 8-inci, serta stereng pelbagai fungsi empat jejari dengan rekaan unik seakan dua jejari.

SUV lima tempat duduk ini turut dilengkapi kemasan kulit tiruan penuh, sistem audio dengan 8 pembesar suara, serta bumbung panorama “moonlight” yang menambah rasa lapang dalam kabin.

Dari segi praktikaliti, ruang kargo J5 menawarkan kapasiti 480 liter, dan boleh diperluas sehingga 1,180 liter apabila kerusi belakang lipat 60/40 diturunkan.

PRESTASI DAN KECEKAPAN BAHAN API

Untuk pasaran Malaysia, J5 akan ditawarkan dengan enjin empat silinder 1.5-liter turbo yang menghasilkan kuasa 147PS dan tork 210Nm, dipadankan bersama transmisi CVT.

Sebagai rekod, model ini mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 7.5 liter bagi setiap 100km mengikut ujian WLTC.

Google ads
Back to top button