Buletin

GWM MALAYSIA CATAT PERTUMBUHAN 20.3 PERATUS, HAVAL H6 HEV JADI TARIKAN UTAMA

Great Wall Motor Sales Malaysia Sdn Bhd (GWM) terus mencatat kejayaan membanggakan apabila jualannya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini telah pun melepasi jumlah keseluruhan jualan sepanjang 2024.

Prestasi kukuh ini turut menunjukkan lonjakan sebanyak 20.3 peratus berbanding separuh tahun sebelumnya, menurut kenyataan GWM, walaupun syarikat tidak mendedahkan angka rasmi.

Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan GWM sebagai antara pemain utama dalam pasaran automotif tempatan, serta mencerminkan pengaruh jenama tersebut yang semakin meluas di kalangan pengguna Malaysia.

GWM turut menyatakan bahawa ia kekal kukuh dalam kelompok tiga teratas jenama automotif China paling dominan di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, pencapaian ini bukan sekadar soal angka, tetapi juga menggambarkan hala tuju dan makna di sebalik pertumbuhan tersebut.

“Pertumbuhan kami membuktikan rakyat Malaysia menyambut baik visi kami, kenderaan yang menggabungkan inovasi, nilai dan relevan dengan kehidupan harian,” jelas beliau.

Tambah Roslan, pencapaian GWM dalam separuh pertama 2025 turut mencerminkan kekuatan barisan produknya serta peningkatan kepercayaan pengguna terhadap jenama itu.

Antara penyumbang utama kejayaan GWM ialah model Haval H6 HEV, yang kini muncul sebagai salah satu pilihan hibrid paling popular dalam kalangan pemandu tempatan.

GWM menekankan bahawa mereka tidak bersaing semata-mata atas dasar harga rendah, sebaliknya memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, inovasi serta pengalaman pemanduan yang premium.

Di luar kejayaan produk, syarikat turut giat memperluaskan rangkaian pengedarannya. Bermula dengan 18 cawangan pada awal 2024, GWM kini memiliki 26 pusat jualan menjelang pertengahan 2025, dan menyasarkan untuk mencapai 35 cawangan menjelang hujung tahun ini.

Bagi separuh kedua 2025, GWM merancang untuk memperkenalkan dua lagi model baharu yang menyasarkan segmen premium dan berprestasi tinggi.

Salah satu daripadanya ialah varian berprestasi tinggi yang diinspirasikan daripada sebuah hatchback elektrik popular, dibangunkan khusus untuk memenuhi gaya hidup pengguna Malaysia.

Google ads
Back to top button