
JAMBATAN RUNTUH DI TAIWAN TIMPA BOT-BOT NELAYAN
Orang ramai menyaksikan pemandangan mengerikan pada hari pertama bulan Oktober ini sewaktu sebuah jambatan lengkung runtuhke dalam teluk di Nanfango, Taiwan. Menurut laporan berita tempatan, sekurang-kurangnya 20 orang cedera dan tiga buah bot nelayan dihempap runtuhan jambatan tersebut.
Sebuah lori tangki bahan api yang berada di atas jambatan semasa kejadian turut terjunam ke dalam laut dan menimpa bot-bot nelayan tersebut sekaligus menyebabkan kebakaran.

Kejadian itu turut dirakam dua video pengawasan (CCTV) dan ia mengingatkan kita semua kepada tragedi jambatan runtuh di Genoa, Itali. Tiada korban dilaporkan tetapi sekurang-kurangnya 6 orang disyakki terperangkap dalam salah sebuah bot terbabit.
Beratus-ratus pekerja menyelamat dikerahkan ke tempat kejadian dengan segala kelengkapan untuk mengeluarkan bot-bot terbabit dari bawah runtuhan manakala para penyelam membuat carian bawah air untuk mengesan jika ada mangsa terperangkap.

Jambatan tersebut runtuh pada jam 9:30 pagi waktu tempatan semasa sebuah lori pengangkut bahan api melaluinya sebelum terjatuh bersama jambatan dan mencetuskan kebakaran, demikian mengikut laporan pihak berkuasa tempatan.
Menurut laporan Agensi Bomba Kebangsaan Taiwan, kebanyakan yang tercedera adalah nelayan asing dan sebab-sebab insiden berlaku dalam cuaca yang agak baik masih belum diketahui. Dengan panjang keseluruhan 140 meter dan ketinggian 18 meter, jambatan ini merupakan satu-satunya jambatan lengkung tunggal di Taiwan yang disokong dengan kabel-kabel keluli.

Mungkin ia ada hubung kait dengan taufan Mitag yang melanda timur laut Taiwan awal minggu ini yang membawa angin selaju 162 km/j tapi ada juga yang berpendapat sebaliknya. Taufan tersebut bagaimanapun telah menyebabkan hampir 66,000 buah rumah bergelap tanpa bekalan elektrik dan pembatalan lebih 150 penerbangan.