
TERKINI: SKUTER ‘SPORT-TOURER’ SYM TTLBT BAKAL MASUK MALAYSIA
Ketika kami menghadiri pameran motosikal EICMA 2024 yang berlangsung November tahun lalu, SYM antara yang mencuri tumpuan dengan beberapa pelancaran model baharu.
Bagaimanapun, pentas utama SYM lebih menonjol apabila mempamerkan model prototaip menerusi SYM TTLBT. Walaupun hanya prototaip, namun model sebenar telah pun debut di China sekitar Februari lalu.

Terbaru, kami difahamkan beberapa media tempatan akan turut berpeluang ke Taiwan tahun ini bagi merasai kemampuan jentera tersebut bersama beberapa model baharu lain.
Senario itu sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa SYM TTLBT akan diperkenalkan di Malaysia pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

SYM TTLBT menggabungkan dua elemen (skuter dan motosikal sport-touring) sekaligus mewujudkan rupa bentuk yang unik terutamanya dengan kehadiran panniers berkapasiti 14.4L dan 13.6L bahagian belakang. Kedua-dua panniers tersebut juga boleh ditinggalkan.
Meskipun menampilkan reka bentuk lain dari yang lain, TTLBT dipacu enjin sama yang ditawarkan pada TL508 dengan unit parallel-twin 508cc yang berupaya menjana 45hp dan 37Nm.

Pakej elektroni paling mencuri tumpuan yang terdiri dari fungsi seperti:
- throttle-by-wire
- cruise control
- dua mod menunggang; Normal dan Rain
- skrin TFT 7-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto
- traction control
- ABS
- MSC
- IMU 6-axis oleh Bosch

Tempat duduk pula menawarkan penyandar belakang dengan tiga tetapan berbeza. Bawah tempat duduk pula menempatkan ruang seluas 37L. Sebagai kemudahan, penghadang angin depan boleh diselaraskan dengan hanya menekan butang tersedia.

Ketika menunggang dalam cuaca sejuk atau hujan, penungganng boleh mengaktifkan fungsi grip pemanas (heated grip) yang juga ditawarkan secara standard.
Mengambil kira perincian ditawarkan pastinya SYM TTLBT ini mengisi segmen skuter maxi premium dan bakal memberi saingan kepada model lain seperti Yamaha TMAX 560 dan KYMCO AK550.
GALERI: SYM TTLBT 2025




















