Buletin

GEELY BIN YUE LAKU KERAS, 100 RIBU UNIT DALAM 8 BULAN SETENGAH

SUV terbaru Proton iaitu X50 sedang giat diuji di merata tempat. Model itu sudah siap dengan pemanduan sebelah kanan yang bermakna ia memasuki fasa-fasa terakhir ujian pembangunan.

Seperti yang dibincangkan ramai, Proton X50 adalah hasil kejuruteraan semula Geely Bin Yue di pasaran China.

Jika abangnya iaitu Geely Bo Yue mendapat sambutan hangat dengan 500,000 jualan dalam masa 25 bulan, bagaimana pula prestasi Bin Yue?

Geely pada 25 September lalu memaklumkan jualan Bin Yue di China telah mencecah 100,000 unit dalam masa lapan bulan setengah selepas ia dilancarkan.

Bin Yue juga model terpantas di dalam segmennya yang berjaya memperolehi 100,000 unit jualan dalam tempoh tersebut.

Jualan lazim Bin Yue setiap bulan adalah lebih 10,000 unit. Walaupun pasaran kenderaan penumpang di China begitu besar ia tidak bermakna segala-galanya mudah buat pengeluar.

Saingan begitu kompetitif dan ada sahaja produk yang kurang menarik perhatian pembeli.

Bin Yue adalah sebuah SUV kecil yang menarik dengan proses pembangunan mengambil masa lebih empat tahun. Ia dibina berasaskan platform Geely B-Segment Modular Architecture atau BMA.

Reka bentuk SUV ini diterajui oleh pasukan muda antarabangsa di studio Geely Design Shangai.

Di antara yang terlibat di dalam projek ini ialah Jamie Liam Barrett sebagai pereka luaran dan dua orang wanita iaitu Cong Mei Song sebagai pereka dalaman dan Gu Mian selaku pereka warna fabrik.

Bahagian dalam Bin Yue dipengaruhi oleh elemen sains fiksyen seperti jet pejuang super sonik dan Star Wars. Contoh mudah ialah penyaman udara yang kelihatan seperti outlet enjin jet.

Dari segi enjin, Bin Yue mempunyai dua pilihan iaitu tiga silinder 1.5TD yang dibangunkan secara bersama dengan Geely Auto dan Volvo.

Kedua-dua syarikat turut membangunkan transmisi tujuh kelajuan basah berkembar (7DCT).

Walaupun sesaran enjin kecil dengan hanya tiga silinder, enjin itu berkuasa 174 hp dengan tork 255 Nm. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 7.9 saat.

Penggunaan minyak untuk pemanduan bandar dan lebuh raya pula ialah 6.1L per 100 km.

Satu lagi pilihan enjin ialah 1.0TD berkuasa 134 hp dan tork 205 Nm yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual. Penggunaan minyak ialah 5.3L per 100 km.

Bin Yue adalah model global yang penting buat Geely. Enjin 1.5TD telah menjalani ujian lebih 12 juta km di serata Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Utara.

Transmisi 7DCT pula telah melalui ujian lebih dari enam juta km yang merangkumi pelbagai keadaan mencabar di empat buah benua dunia.

Akhir sekali bilakah pasaran tempatan akan dihidangkan dengan Proton X50? Jawapan selamat ialah tahun depan dan ia mungkin dikeluarkan di kilang Proton Tanjung Malim pada harga yang menarik.

BACA: GEELY DAN PROTON, CABARAN YANG MULA MEMBUAHKAN HASIL

BACA: SUV COUPE GEELY XING YUE DILANCARKAN DI CHINA. 4 PILIHAN ENJIN, PENJIMATAN MINYAK 1.2L/100KM!

BACA: PROTON X50 – 5 PERKARA YANG KAMI TAHU SETAKAT INI

Google ads
Back to top button