Buletin

HYUNDAI BANGUNKAN KUNCI DIGITAL – BUKA/HIDUPKAN KERETA GUNA TELEFON PINTAR SAHAJA

Hyundai Motor Group mengumumkan pembangunan ‘Kunci Digital’ yang membolehkan pengguna membuka dan menghidupkan enjin kereta menerusi telefon pintar mereka. 

Bakal menggantikan kunci fizikal, Kunci Digital boleh dimuat turun melalui satu aplikasi dan teknologi Near Field Communication (NFC) akan mengesan kehadiran kunci berkenaan berhampiran kereta.

Antena NFC diletakkan pada hendal pintu pemandu dan penumpang hadapan. Manakala NFC untuk menghidupkan enjin pula berada di pad pengecas tanpa wayar. 

Pengguna hanya perlu meletakkan telefon pintar di atas pad berkenaan, kemudian tekan butang penghidup enjin. 

Boleh digunakan oleh empat orang yang disahkan identitinya, sistem kunci itu juga menyimpan talaan kenderaan yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Jadi, tetapan seperti kedudukan cermin, tempat duduk, sistem audio, navigasi, head-up display (HUD) dan stereng akan dilaras secara automatik. 

Kunci digital itu juga boleh digunakan untuk mengawal beberapa sistem tertentu dari jauh. Menggunakan komunikasi Bluetooth Low Energy (BLE), pengguna boleh membuka dan mengunci kereta, mengaktifkan sistem penggera dan menghidupkan enjin. 

Lebih menarik lagi, tahap akses fungsi kenderaan boleh diprogram berdasarkan kepada setiap pengguna. Pemilik boleh menghadkan tempoh penggunaan kereta atau ciri-ciri tertenty apabila menyewanya. 

Sebaik sahaja sistem perkongsian kereta semakin meluas, Kunci Digital akan diprogram untuk memudahkan pemilk dan penyewa. Jadi, mereka mereka tidak perlu berjumpa dan cukup sekadar menghantar Digital Key menerusi aplikasi telefon pintar. 

Dalam situasi parkir valet pula, kunci biasa akan diberikan. 

Hyundai Motor Group merancang untuk mengimplementasikan teknologi ini ke atas model-model baharu mulai akhir tahun ini secara perlahan-lahan. 

Google ads
Back to top button