Buletin

BMW X3 M SPORT CKD MASUK PASARAN TEMPATAN. 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM315,800

BMW Malaysia mendedahkan BMW X3 dalam tiga varian baharu untuk pasaran tempatan.

Tiga varian baharu yang dipasang tempatan (CKD) itu merupakan BMW X3 sDrive20i M Sport, BMW X3 xDrive30i M Sport dan BMW X3 xDrive30e M Sport.

Dua varian petrol iaitu sDrive20i dan xDrive30i serta satu elektrik BMW X3 xDrive30e M Sport ditawarkan pada harga bermula : –

  • BMW X3 sDrive20i M Sport Baharu (RM 315,800.00)
  • BMW X3 xDrive30i M Sport Baharu (RM 358,800.00)      
  • BMW X3 xDrive30e M Sport Baharu (RM 356,800.00)

Kesemua varian BMW X3 didatangkan dalam aneka kombinasi warna luaran dan dalaman meliputi putih (Alpine White), kelabu  (Brooklyn Grey), biru (Phytonic Blue) dan hitam (Carbon Black).

Ia dipadankan Leather Vernasca Black dengan sulaman biru pada ruang dalaman malah pemilik boleh memilih Leather Vernasca Mokka untuk model putih (Alpine White) dan hitam (Carbon Black).

Selain itu, bahagian bonet kelihatan sedikit menaik, rungkup hadapan singkat serta siluet jentera berbentuk tirus.

BMW X3 terbaharu menampilkan rupa paras lebih sporty dengan gril kidney lebih besar dipadankan lampu utama LED penuh, lampu belakang LED dengan kontur tiga dimensi di sekeliling, paip ekzos lebih besar dan roda aloi 20 inci yang diubah suai bagi memantapkan lagi jentera berkenaan.  

Bagi versi hibrid plug-in pula, jentera BMW X3 mudah dicam dengan port pengecasan yang terletak di belakang roda kiri hadapan.

Ruang dalaman BMW X3 hadir dengan paparan kawalan 10.25 inci dengan fungsi sentuh, elemen bersadur zink dalam lohong udaranya, serta elemen kawalan baharu di bawah skrin paparan yang terletak di konsol sentral.

Ia menampilkan tempat duduk sport dengan penyokong sisi, upholsteri kulit menyerlahkan sentuhan premium jentera berkenaan.

Varian BMW X3 xDrive30e pula dilengkapi BMW i Blue manakala BMW X3 sDrive20i didatangkan BMW Live Cockpit Plus dengan teknologi panel hitam, dail bulat analog dan kluster instrumen 5.1 inci.

BMW X3 sDrive20i dan BMW X3 xDrive30i mendapat khidmat enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder.

Model sDrive20i dipadankan transmisi Automatic Steptronic 8 kelajuan dengan Fungsi Pengekalan Automatik mampu menjana kuasa maksimum 184 kk dan tork 300 Nm.

Bagi xDrive30i pula, ia didatangkan transmisi Steptronic Sport 8 kelajuan dengan  252 kk dan tork 350 Nm.

Sebagai alternatif, BMW X3 xDrive30i baharu menggandingkan jarak operasi enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan motor elektrik berkuasa tinggi dan bateri yang mempunyai kapasiti kasar berjumlah 12 kWj untuk membekalkan jarak operasi sejauh 50 kilometer (WLTP) dalam mod elektrik sahaja.

Ciri-ciri menarik lain termasuk Pembantu Pemandu yang menyediakan fungsi Amaran Penukaran Laluan, Amaran Pengeluaran Laluan, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek sebagai standard, Bantuan Parkir dan Bantuan Mengundur.

Pemilik BMW X3 baharu dapat menikmati Pengalaman Pemilikan Premium oleh BMW Group Malaysia meliputi:

  • Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun oleh BMW serta Program Servis Berjadual Percuma
  • Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan oleh BMW
  • Aplikasi Mudah Alih ‘BMW Group Loyalty+’- BMW Privileges Card
  • Servis Dalam Talian BMW

Untuk keterangan lanjut mengenai model terbaharu BMW X3 boleh melayari laman web www.bmw.com.my.

Google ads
Back to top button