
JMS 2023: DAIHATSU VISION COPEN. 1.3L NA, AGIHAN BERAT 50:50, SAIZ KINI LEBIH BESAR
Daihatsu Motor Co., Ltd. hari ini memperkenalkan lima model konsep pada acara Japan Mobility Show 2023 yang sedang berlangsung sekarang hingga 5 November 2023 di Tokyo Big Sight.
Dengan tema “Staying Close to Our Customers and Enriching Their Lives”, ruang pameran Daihatsu menyerlahkan evolusi jenama tersebut yang kini memberi perhatian kepada teknologi EV.
Antara model yang menarik perhatian pastinya Vision Copen. Ini merupakan roadster Copen yang tampil dengan pembaharuan pada rekaan ikoniknya.

Ini dapat dilihat dengan jelas pada bahagian hadapan dan belakang yang menggunakan sepasang lampu LED berbentuk bulat. Roadster dengan bumbung yang boleh dibuka itu tampil lebih menarik dengan rekaan rim yang elegan.
Menjengah ke ruang kabin, jentera dua tempat duduk itu dilengkapi skrin digital untuk instrumen meter dan paparan infohibur. Tuil gear juga hadir dengan rekaan yang lebih futuristik.
Jentera berkenaan dikuasakan oleh enjin bersesaran 1.3 liter aspirasi biasa dengan agihan berat 50:50. Ini pastinya menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan.

Tiada data rasmi mengenai berapakah kuasa enjin berkenaan, tetapi berdasarkan kepada enjin sama digunakan oleh Perodua Myvi, enjin tersebut mampu menjana kuasa mencecah 103 PS dan tork maksimum 136 Nm. Enjin itu mungkin dipadankan dengan kotak geat D-CVT macam Ativa.
Dari segi dimensi pula, Vision Copen adalah lebih besar berbanding model lama. Secara spesifiknya, ia mempunyai 3,835mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,265mm tinggi.
Copen generasi sekarang ada dibawa masuk oleh pengimport parellel ke Malaysia. Kalau hendak model ini, kena tunggu sikit lah dan harganya pasti tidak murah.
GALERI

















