Buletin

JOHN HAYNES, PENCIPTA HAYNES MANUALS MENINGGAL DUNIA PADA USIA 80 TAHUN

Pernah dengat tentang buku panduan Haynes ataupun Haynes manuals tak? Kalau tak pernah memang korang ni memang jenis tak pernah pegang spanar ni. Mesti nak tukar wiper pun pergi mintak Ah Beng kedai aksesori tolong pasang.

Buku panduan Haynes ini telah banyak membantu para mekanik di seluruh dunia dalam memperbaiki kenderaan. Ia mempunyai langkah-langkah yang perlu diambil, gambarajah-gambarajah dan keratan rentas yang banyak membantu mekanik profesional dan DIY macam Pak Amid dalam memahami dan membaiki kerosakan enjin.

Buku manual Haynes ini sudah diterbitkan sejak 50 tahun dulu dan ia merangkumi hampir kesemua model kereta. Cuma sayang kami belum pernah jumpa buku ini diterbitkan dalam Bahasa Melayu. Mungkin ia disebabkan sifat kita sendiri yang tidak sukakan bacaan yang berat dan ilmiah. Kalau majalah hiburan memang bersepah la kan?   

Haynes jatuh cinta dengan kereta sejak dari kecil dan cukup gembira menaiki kereta Morris 8 sedan bapa beliau. Sewaktu berusia 12 tahun beliau berpindah ke UK dan memasuki sekolah berasrama bersama saudara lelakinya. Di sana Haynes berjaya memujuk pengetua sekolahnya agar membenarkan beliau ponteng latihan ragbi agar beliau boleh ‘memperbaiki’ sebuah Austin 7.

Mungkin kebetulan nasib beliau baik dan mungkin juga sebab Haynes memang seorang yang berbakat, Austin 7 tersebut berjaya diubahsuai dan dikenali dengan nama Austin 7 “Special”. Rekaan beliau itu menjadi sangat popular dan beliau telah menghasilkan sebuah buku untuk menerangkan proses modifikasi secara satu persatu. 250 naskah pertama buku beliau yang dinamakan Building a 750 Special telah habis terjual dalam masa hanya 10 hari.

Tapi hanya pada tahun 1965 barulah Haynes berjaya meneruskan kejayaan buku pertama beliau tersebut. Sewaktu berkhidmat dengan tentera udara, Haynes membantu merestorasi kembali sebuah Austin-Healey “Frogeye” seorang sahabat yang dibeli dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Ketika itulah Haynes menyedari yang kebanyakan manual pembaikian yang dibekalkan pengeluar memang rumit dan sukar difahami oleh orang biasa.

Haynes telah menanggalkan setiap bahagian kereta dan mengambil gambar setiap satunya. Gambar tersebut juga digunakan untuk menyiapkan Haynes manual yang pertama diterbitkan dalam tahun 1966. Sejak dari itulah, Haynes telah berjaya menjual lebih dari 200 juta naskah Haynes manuals di seluruh dunia.

Trivia: Sebenarnya buku Haynes ini bukan terhad kepada kereta sahaja, tetapi juga terdapat untuk model-model motosikal, skuter, pesawat terbang dan juga kapal laut. Kalau tak ada pun mungkin untuk model basikal lajak.

Kini Haynes telah pergi pada usia 80 tahun dan meninggalkan seorang balu, 2 orang anak lelaki dan 5 orang cucu. Sudah tentu buku panduan yang ditinggalkan Haynes akan membantu generasi akan datang jika mereka berhasrat melakukan kerja-kerja pembaikian DIY untuk kereta mereka  

BACA: PATIN EVO SEVEN

BACA: MITSUBISHI EVO FQ 440 – HADIAH MITSU UK KEPADA DUNIA

Google ads
Back to top button