
4 JENIS PENYELENGGARAAN KERETA YANG BOLEH DIBUAT SENDIRI DI RUMAH
Kita harus menerima hakikat yang kita sedang menghadapi zaman gawat. Walaupun media massa mengatakan ekonomi negara kian stabil namun hakikatnya kos hidup kita semakin meningkat. Kalau kasut sekolah tahun lepas RM25 sepasang tahun ni naik kepada RM35 sepasang bahagian mana yang stabilnya?
Antara cabaran seharian dalam aspek kehidupan ialah bagaimana untuk berjimat dalam menyelenggara kenderaan. Kita sudah terdesak antara keperluan dan keutamaan, kalau tak diselenggara sekali rosak habis beribu. Nak selenggara sebaik mungkin, masalah kos pula timbul.
BACA- 6 TANDA PALAM PENCUCUH PERLU DIGANTI
BACA – TIPS JAGA TRANSMISI JENIS CVT
Jadi di sini kami ingin membantu anda menjimatkan kos dengan memberikan beberapa tips penyelenggaraan kenderaan yang boleh anda lakukan sendiri di rumah. Percayalah, sesetengah perkara boleh dilakukan sendiri tanpa pengetahuan mekanikal yang tinggi.
PERIKSA PENAPIS UDARA
Antara perkara yang sering dilupakan dalam penjagaan kenderaan ialah penapis udara. Biasanya ia cuma dibersihkan dengan semburan angin sewaktu servis dan digunakan kembali.
Penapis udara sepatutnya ditukar baru setahun sekali bagi memastikan ianya berfungsi dengan baik. Ada yang memakai penapis udara aftermarket berprestasi tinggi yang memang boleh dibersihkan dan digunakan kembali tetapi biasanya ia lebih mahal.
Penapis udara biasa tidak melibatkan kos yang tinggi dan sebaiknya ditukar sahaja sebelum hancur berderai dan mengakibatkan kerosakan yang lebih serius pada enjin anda. Bagaimana cara menukarnya?
- Kenalpasti kotak penapis udara di bahagian enjin. Ia biasanya berwarna hitam dengan beberapa klip di bahagian tepinya. Jika gagal menemuinya rujuk kepada buku manual panduan kereta anda.
- Buka kesemua klip untuk membuka kotak tersebut dan kenalpasti kedudukan penapis lama yang ada di dalam.
- Keluarkan penapis lama dan gantikan dengan penapis udara yang baru dengan kedudukan yang sama.
- Tutup kembali kotak dan pasang kembali klip-klip tadi.
Itu sahaja dan anda telah menjimatkan masa hampir sejam di bengkel (mungkin lebih lama kalau kereta banyak).
Untuk memanjangkan usia penapis udara baru, anda boleh membersihkan bahagian dalaman kotak penapis udara dari sebarang kotoran dengan semburan angin berkuasa tinggi atau menggunakan penyedut hampagas di rumah (vacum cleaner)
PENGELAP CERMIN
Pengelap cermin merupakan suatu lagi benda yang selalu tertinggal dalam senarai penyelenggaraan. Biasanya kita cuma teringat yang ianya perlu ditukar sewaktu memandu dalam hujan.
Setengah kedai mengenakan kos untuk menukarnya manakala setengah kedai tidak mengenakan kos (tetapi jika anda perasan, harganya adalah lebih tinggi).
Cara paling menjimatkan ialah membeli pengelap baru di kedai alat ganti (bukan kedai aksesori) dan menukarnya sendiri.
Biasanya proses menukar tak sampai pun sepuluh minit. Sebelum menukarnya pastikan anda membeli pengelap baru dengan ukuran yang sama dengan pengelap asal. Lihat label di belakang kotak bungkusan pengelap baru atau boleh gunakan pita pengukur. Catatkan ukuran dalam unit inci.
- Angkat pengelap cermin seperti anda lakukan sewaktu membasuh kereta dan tanggalkan pengelap lama. Jika tidak pasti caranya, perhatikan dulu macam mana sambungan antara pengelap dengan lengan logam tersebut.
- Pada kebanyakan model kenderaan, anda akan dapat lihat satu punat kecil di bahagian bawah sambungan pengelap cermin anda. Tekan dan tarik keluar pengelap lama tersebut.
- Pasangkan pengelap baru dengan kedudukan yang sama dengan pengelap lama. Pastikan ianya terpasang dengan kemas dan anda berpuas hati.
Kalau tidak pasti dengan cara pemasangan, rujuk kepada lakaran yang disertakan di bahagian belakang kotak pengelap cermin baharu anda.
PENJAGAAN BATERI
Antara langkah terbaik dalam memastikan kenderaan anda sentiasa dalam keadaan lancar dan efisien ialah penjagaan bateri.
Kelompok garam asid yang terbentuk di bahagian penyambung terminal bateri sudah mencukupi untuk menghalang anda dari menghidupkan kenderaan. Pemeriksaan secara visual akan memberitahu anda jika bateri anda perlukan penyelenggaraan.
- Tanggalkan bahagian penyambung terminal bateri. Ia cukup mudah sebenarnya tetapi pastikan bahagian positif dan negatif untuk rujukan anda. Tanggalkan bahagian negatif dahulu sebelum bahagian positif.
- Bersihkan terminal bateri menggunakan berus dawai. Ia boleh dibersihkan dengan sabun cucian biasa ataupun dengan mencampurkan air dengan soda penaik. Jika malas sangat, boleh menggunakan minuman Coca-Cola (tapi rugi pulak rasanya). Gosok sehingga bersih kemudian bilas dengan air bersih.
- Keringkan bahagian yang basah dengan mengelap ataupun menggunakan semburan angin.
- Pasang kembali sambungan ke terminal bateri.
Bateri yang mati adalah amat menyusahkan. Jika anda telah menggunakan bateri yang sama selama beberapa tahun, pastikan anda memeriksa keadaan bateri tersebut sebulan sekali untuk memastikan keadaannya. Jika terlalu kotor, bersihkannya segera.
PENJAGAAN RADIATOR
Radiator ataupun tangki air kereta mesti selalu dibersihkan supaya ia dapat berfungsi dengan sebaiknya. Berdasarkan kadar penggunaan, bahagian dalaman radiator akan memerangkap kotoran yang banyak seperti karat dan lain-lain deposit.
Pembersihan radiator adalah cara yang paling mudah dan jimat untuk memastikan sistem penyejuk kenderaan anda berada dalam keadaan baik. Biasanya proses ini perlu dilakukan setahun sekali (nak buat setiap pun boleh tetapi membazir la pulak).
- Pastikan enjin kenderaan anda dalam keadaan sejuk sebelum memulakan kerja.
- Buka penutup raditor.
- Pastikan kedudukan drain plug pada radiator (jika tidak pasti, rujuk buku manual kenderaan anda). Buka drain plug tersebut dan biarkan air ataupun cecair penyejuk tersebut mengalir keluar sepenuhnya.
- Masukkan hos air di bahagian atas dan alirkan air masuk ke dalam radiator untuk memastikan sebatian karat mengalir keluar sepenuhnya. Bila air sudah menjadi jernih pasang kembali drain plug tadi.
- Tuangkan penyejuk (coolant) ke dalam radiator dan kemudian tambahkan air biasa sehingga penuh.
- Hidupkan enjin dan perhatikan paras air di dalam radiator. Jika berkurangan, tambah dan kemudian tutup kembali penutup radiator dengan kemas.
Jangan melakukan kerja jika enjin dalam keadaan panas.
BACA – TIPS MEMANDU JIMAT MINYAK
BACA – TIPS PEMANDUAN MUSIM HUJAN
AKHIR KATA
Empat langkah di atas merupakan antara proses penyelenggaraan paling mudah dan boleh menjimatkan wang dan masa. Malah ia juga boleh memanjangkan hayat enjin.
Tetapi dalam melakukan kerja-kerja DIY (Do-It-Yourself) sebegini, kena tahu batasan anda. Jangan melakukan kerja-kerja yang terlalu kompleks seperti membuka bahagian-bahagian rumit yang tidak mampu anda pasang sendiri kembali.