
KAMI UJI SEKALI LAGI. PERODUA ARUZ 1.5X DENGAN GEAR-UP
Aruz – SUV 7 Tempat duduk untuk Ayah – Ayah Hipster

Antara tahun 1995-2000, ada banyak pilihan kenderaan 7 tempat duduk yang dijual di Malaysia. Sebagai contoh, Nissan Vannette C22 yang pernah dimiliki oleh ayah saya. dengan enjin 1500cc suapan karburetor, ia adalah sebuah van yang lasak, tidak banyak karenah dan senang diselenggara walaupun tidak laju.
Malah, formen motosikal pun boleh membaiki van ini jika dalam keadaan terdesak. Abaikan segala fitur keselamatan seperti ABS, ia hanya ada 2 tali pinggang keselamatan untuk pemandu dan penumpang depan saja. Enjin yang dipasang pada bahagian tengah, memang boleh memekakkan telinga sekiranya dipandu pada halaju kebangsaan. Penyaman udara hanya untuk bahagian hadapan, jadi perjalanan waktu tengah hari agak memeritkan kulit.

Menyedari wujudnya ruang vakum ini, Toyota pantas memperkenalkan Avanza , diikuti rapat oleh Livina, Perodua Alza dan juga Proton Exora. Namun menyedari perubahan trend dalam kehendak pengguna, satu produk yang lebih ranggi diperlukan bagi menjinakkan hati bapa bapa generasi gen X.
Tak salah kalau kita kahwinkan fungsi MPV 7 tempat duduk dengan sebuah SUV. Hasil dari kreativiti inilah, SUV dengan kapasiti 7 tempat duduk dihasilkan, cukup ranggi untuk mencairkan hati ayah -ayah muda berubah selera dari kereta sedan kecil kepada SUV.

Kenderaan harian saya ialah sebuah sedan B segmen dengan kuasa 118hp, bagi saya mencukupi untuk kegunaan persendirian.
Namun saya pernah terfikir, sekiranya perlu menaiktaraf kenderaan saya jika ahli keluarga bertambah ramai, dengan bajet RM80,000 maka pilihan saya terhad pada Honda BRV, Toyota Avanza, Perodua Alza ataupun Proton Exora.
Apabila saya ditawarkan untuk pandu uji Perodua Aruz selama 3 hari, terus saya bersetuju agar saya boleh menjawab satu persoalan. Adakah kereta ini sesuai untuk saya yang biasa menggunakan kereta yang lebih laju dan berkuasa?

Unit yang dipinjamkan ialah sebuah Perodua Aruz Variant X dan dilengkapi dengan aksesori Gear Up, cukup untuk menaikkan seri Aruz. Dengan harga RM72,900 Aruz bukan saja memberikan saingan sengit pada MPV segmen B yang lain, malah mencabar kereta sedan segmen B dengan ciri ruang yang lebih luas, lebih praktikal dan fungsi keselamatan yang tiada dalam sedan segmen B.
Jika selama ini sedan segmen C diancam oleh SUV, maka Aruz turut memberikan ancaman serius pada segmen sedan B.
Rekabentuk

Muka depan Aruz datang dengan imej korporat Perodua yang baru, X-Face pada bampar depan hasil kesinambungan dari Axia dan Myvi.
Rekabentuk hadapan ini disudahkan dengan kehadiran sepasang lampu LED memberikan dinamik. Sekilas pandang, dari depan Aruz kelihatan seperti adik tiri Honda CRV, namun pada sudut sudut tertentu seolah olah muka Darth Vader ditumbuk dengan lesung batu.

Pada bahagian belakang, lampu kombinasi malam dan lampu tambahan membuatkan kita terfikir, kenapa BRV sungguh kedekut untuk memasang 2 unit lagi mentol tambahan.
Dan pada waktu malam, lampu ini persis lampu belakang Toyota Fortuner. Oh ya, tayar ganti bersaiz penuh digantung pada bahagian belakang seperti Hilux.
Jika dilihat dari sisi, jarak kelegaan bumi yang tinggi diserikan dengan saiz roda bersaiz 17 inci dengan kemasan 2 tona, hitam dan metal polish finish. Namun sayang, warna hitam sedikit tenggelam bila dilihat dari jauh, hanya bahagian metal polish finish saja yang kelihatan, mengurangkan sikit sifat kejantanan Aruz

Sepanjang saya memandu uji kereta ini, saya telah ditahan oleh pihak polis trafik, pegawai JPJ dan juga polis peronda di dalam satu sekatan jalan raya, semata-mata ingin mengintai kereta ini dengan lebih dekat, malah ada yang menyangka ini ialah sebuah Honda CRV berdasarkan rupa paras hadapan.
Sepanjang 3 hari memandu uji Aruz, kereta sentiasa menarik perhatian pengguna jalanraya lain.
Rekabentuk Ruang Penumpang
Tema warna hitam mendominasi keseluruhan ruang papan pemuka, dan pada pendapat saya walaupun kelihatan kelam, berjaya menghasilkan satu persekitaran yang seragam dan boleh bertahan dengan karenah 7 penumpang yang pelbagai ragam.
Pujian harus diberikan pada unit audio yang turut berfungsi memaparkan visual bagi kamera belakang, cukup jelas pada waktu malam, dan tidak silau pada waktu tengahari.
Kualiti pemasangan dan juga operasi unit audio ini juga pantas dan tiada masalah “loading” ketika peranti USB beroperasi

Sudut paparan meter yang menunjukkan bacaan halaju dan meter RPM dipasang sedikit menegak, memudahkan saya membaca meter sekali imbas diterangi dengan warna putih terang, sangat mudah untuk membaca maklumat pada waktu siang atau malam.
Manakala paparan LCD memberikan maklumat bacaan petrol semasa, bacaan baki petrol, dan kedudukan posisi gear semasa. Terdapat juga paparan meter ECO dalam bentuk bar, dengan 3 bar menunjukkan penggunaan petrol yang berhemah, dan akan terpadam apabila halaju melebihi 115km/sejam dan RPM melebihi 3500.
Ia bagaikan merotan pemandu agar sentiasa berhemah dan tidak melebihi had laju. Pada pendapat saya, ia bagaikan maqasid syariah agar pemandu tidak dikenakan kompoun AWAS (eh. macam AES kan)

Posisi stering boleh diubah sudut ketinggian dan kerusi pemandu juga boleh dilaras ketinggian menghasilkan kedudukan pemanduan yang sangat selesa.
Kehadiran tempat duduk “bucket” pada bahagian kerusi menyokong bahagian peha, dan pada bahagian belakang menjaga bahagian pinggang saya agar tidak berubah kedudukan sewaktu mengambil selekoh. Rekabentuk kerusi dan steering ini membuatkan saya terlupa bahawa ini adalah SUV 7 tempat duduk, bukannya Myvi.
Memandangkan unit ini adalah salinan sah Toyota Rush, maka faktor ergonomik sangat cemerlang dalam Aruz. Semua butang, tombol gear, suis, unit audio, dan corong penyaman udara disusun bagaikan ahli muzik kumpulan orchestra muzik.
Sangat senang dicapai tanpa saya menggerakkan bahu. Terima kasih kepada Perodua, yang mendengar keluhan saya sebelum ini dalam uji pandu Myvi, butang audio kini mempunyai pencahayaan sendiri, akan menyala sebaik sahaja lampu “guide light” dihidupkan. Ini kerana, lelaki baik macam saya sebenarnya tidak berapa pandai meraba dalam gelap.

Kerusi pada bahagian kedua boleh dilaras kedudukan samaada ke depan atau ke belakang, boleh dilipat untuk memudahkan pergerakan keluar masuk penumpang tempat duduk belakang dan boleh dicondongkan sedikit bagi memudahkan penumpang belakang tidur berdengkur seperti bunyi ekzos Kancil turbo anda waktu bujang dulu.
Segala kelengkapan menukar tayar disembunyikan dengan kemas dibawah kerusi depan kiri dan kanan, namun masih ada ruang meletakkan kaki di bawah kerusi depan dan belakang
Malah, masih ada ruang kaki untuk penumpang barisan ketiga menyelitkan kaki dibawah barisan tempat duduk kedua.
Bahagian belakang kerusi tempat duduk kedua dikorek ke dalam, mencuri sedikit ruang agar lutut penumpang barisan ketiga tidak bergesel dengan kerusi barisan kedua. Well played Perodua.
Namun kerusi kedudukan ketiga, walaupun siap dengan perehat kepala, terasa sedikit menegak. Kalau boleh turun sedikit 5-10 darjah ke belakang, lagi selesa.

Unit penyaman udara dipinjam dari Myvi, maka segala fungsi turut diwarisi seperti ciri 2 memori tetapan penyaman udara. Penumpang bahagian belakang akan disejukkan dengan satu unit “blower” dengan 3 kelajuan lengkap dengan paip penyejukan, membantu menyejukkan penumpang yang sentiasa panas dengan gelagat ahli politik yang memalsukan sijil ijazah mereka.
Namun, saya ingin cadangkan kepada Perodua lebih baik jika suis blower tersebut ditukar dengan ciri butang sama seperti Toyota Innova. Unit pengecas peranti telefon pintas terdapat pada papan pemuka (2 unit), pada kerusi pemandu (1 unit) dan satu soket 12v pada barisan ketiga.
Terdapat 2 lampu cabin pada barisan pertama, 1 lampu pada barisan kedua, 1 lampu pada ruang bagasi, dan juga cermin solek juga dihiasi lampu.
Sesuai untuk isteri-isteri anda (Eh) bersiap dan bermekap dengan cepat di dalam kereta. Namun saya cadangkan, jika lampu tersebut ditukar kepada LED berwarna putih cerah, ia akan menaikkan suasana mahal di dalam Aruz.
Enjin dan Kotak Gear
Aruz didatangkan dengan enjin yang sama dengan Myvi, enjin 1500cc 2NR-VE dengan teknologi dual VVT-i, dan disalurkan pada gandar belakang.
Disebabkan ramai rakyat Malaysia adalah jurutera bertauliah dan berdaftar dengan Society of Automotive Engineer (SAE), maka timbul komen komen pedas tidak adil mengatakan enjin ini akan lemau bila mendaki.
Dengan berbekalkan 102 PS dan 136 Nm tork, maka saya buat satu ujian saintifik dengan mendaki laluan berbukit Simpang Pulai – Cameron Highland.
Laluan ini dipilih kerana ia adalah satu laluan berbukit, mendaki curam, berselekoh tajam pendek dan panjang cukup sesuai untuk mendera cesi, kotak gear dan enjin. Kalau pemandu baru nak up, soalan lazim ialah “berapa top speed”. Aruz bukan kereta rali atau lumba ye tuan puan.

Melalui perjalanan ini, pemandu akan dapat merasai sendiri dinamik pemanduan Aruz, pecutan, kuasa brek, pergerakan cesi (roll, pitch dan yaw) serta mengkaji NVH (bunyi, gegaran dan kekasaran) yang dihasilkan oleh Aruz.
Laluan yang sama ini juga telah menguji Alza, Myvi dan juga Honda City milik penulis. Berbeza dengan ratio kotak gear Alza yang menggunakan pendekatan santai (nisbah gear lebih “panjang”), Aruz menggunakan pendekatan memecut.
Keempat-empat ratio yang digunakan pada Aruz adalah tinggi, berbeza dengan Alza. Hasilnya saya dapat rasakan Aruz memecut dengan lebih gagah, lancar dan tiada fenomena “gear hunting” sewaktu mendaki.
“Gear Hunting” ini adalah satu fenomena di mana ECU gear teragak-agak untuk memilih gear yang sesuai sewaktu mendaki. Sekejap dia turun, sekejap dia naikkan gear.
Ujian seterusnya ialah ujian bebanan, dengan 6 penumpang yang menaiki Aruz dan dipandu sekitar bandar. Jangan risau, Aruz masih memecut seperti biasa, malah masih mampu meninggalkan sebuah Vios yang cuba memotong dari kiri.
Baru dia apa itu erti malu dikalahkan dengan SUV. Sila test drive dulu, baru komen. Hahaha. Tapi…..

Namun ada sedikit kelemahan dengan pendekatan ini, jurutera terpaksa mengorbankan gear pada halaju tinggi, disebabkan hanya ada 4 ratio, RPM enjin akan menjadi sedikit tinggi pada halaju tinggi. Berikut ialah bacaan RPM sewaktu laluan lebuh raya:
Halaju (km/h) | RPM | Bunyi Kabin dB |
100 | 3000 | 59.1 |
110 | 3300 | 61.0 |
120 | 3600 | 63.2 |
130 | 4000 | 64.8 |
Biasa yang menjadi isu ialah, apabila enjin beroperasi pada halaju tinggi, NVH kereta akan terjejas disebabkan ngauman enjin akan menceroboh ruang kabin membuatkan penumpang terasa tidak selesa, dan memenatkan pemandu untuk tempoh yang lama.
Namun, hasil dari pemasangan bahan kedap bunyi, bunyi enjin hanya kedengaran menderam lembut seperti harimau, bukan seperti kucing jantan mengiau dan bergaduh. Hasilnya anda dapat memandu dengan tenang dan selesa.
Penggunaan bahanapi
Satu persoalan lagi yang ditanya oleh pembaca, bagaimana Aruz mampu mencapai tahap penggunaan petrol 15.6km/liter?
Jawapan dia ialah penggunaan teknologi dual VVT-i yang digunakan oleh Aruz. Enjin dual VVT-i ini ditala dengan kuasa sederhana untuk penjimatan petrol, namun dibantu dengan ratio gear tinggi bagi meningkatkan kuasa yang sampai pada roda.
Unit dual VVT-i ini akan menyedut semula gas ekzos, untuk digunakan semula lantas meningkatkan “thermal efficiency” enjin dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Malas dengan bantuan teknologi “Eco Idle” sistem, maka penjimatan petrol yang optimum dapat dicapai.

Semasa ujian, unit pandu uji Aruz ini baru menunjukkan jarak perbatuan sekitar 800km sahaja, sangat baru dan kemungkinan enjin sedikit “ketat”.
Dalam ujian perjalanan (bukan bawa 60km/h ye) yang melibatkan laluan bandar, lebuh raya, kesesakan jalan dan jalan berbukit Aruz mencatatkan penggunaan etrol 13km/liter.
Bagi saya, ini ialah angka yang baik memandangkan Aruz ini memiliki tayar 17 inci, berat 1300 kg dan tinggi.
Dinamik Pengendalian, Suspensi dan Steering
Bagi pemandu yang biasa memandu Avanza, Hilux atau Innova, maka tiada sebarang kejutan buat mereka. Namun bagi yang pertama kali memandu kereta dengan cesi ladder frame, akan terasa sedikit kelainan dari segi pengendalian.
Cesi ini adalah keras, tegar dan berat menjadikan ia sangat sesuai membawa beban dan melalui jalan yang tidak rata. Namun sifat keras cesi Aruz dilembutkan oleh penggunaan tayar Bridgestone Alenza dengan saiz lebar 215mm, dan ketebalan ratio 60 menjadikan Aruz menyerap segala permukaan jalan dengan selesa, tapi jika tayar termasuk ke dalam lubang yang dalam sedikit, bunyi “thud” yang lembut akan kedengaran, diikuti dengan sedikit gegaran keras yang dihasilkan oleh cesi.
Namun kualiti serapan gegaran adalah lebih baik berbanding sedan milik saya.

Cesi Aruz ini juga memiliki jarak antara roda yang panjang, lantas pergerakan “pitch” (ayunan dari depan ke belakang) terasa lembut. Namun dengan track width atau lebar 1460mm, body roll akan sedikit terasa terutama dengan ketinggian Aruz 1740mm.
Stering bantuan kuasa elektrik terasa ringan sewaktu memandu keluar dari kotak parkir, dan memberatkan steering sewaktu halaju meningkat.
Kedudukan roda stering boleh laras dan memberikan pandangan jelas pada meter membuatkan Aruz terasa seperti sebuah sedan. Namun dalam sesetengah keadaan seperti melalui lopak atau jalan kurang rata, tayar seperti sedikit melantun lantas menjadikan stering terasa kosong sedikit.
Jadi, kurangkan kelajuan sewaktu jalan berselekoh, Aruz ini mempunyai pusat graviti yang tinggi menjadikan ia sedikit gayat pada selekoh tajam

Aruz menggunakan suspensi bebas topang McPherson pada bahagian roda hadapan dan Live Axle dengan Spring (dependent suspension) pada bahagian belakang.
Untuk pemanduan dalam bandar dan juga di lebuh raya, gandingan suspensi ini dengan penyerap hentakan yang lebih panjang menjadikan Aruz sangat selesa.
Ditambah pula dengan bar anti oleng pada bahagian belakang, menjadikan pergerakan di selekoh terkawal. Cuma kalau selekoh ada lopak atau bonggol pada bahagian pertengahan selekoh, akan wujud sedikit fenomena understeer, dan pembetulan input stering perlu dibuat

Ujian Brek Kecemasan dan Selekoh Tajam
Dengan bantuan seorang pemandu terlatih, penulis turut menguji prestasi brek ketika kecemasan pada jalan lurus, brek dan mengelak pada halaju 60km/jam dan juga ujian kestabilan pada selekoh.
Semasa brek pada jalan lurus dan brek serta mengelak, Aruz menunjukkan kestabilan yang baik, malah kami gagal membuatkan bahagian belakang Aruz membuang.
Semasa ujian selekoh tajam ke kiri, tayar depan kanan Aruz menjerit protes, namun kehadiran ciri ESC yang menyekat kuasa enjin dan menghantar kuasa brek dan menstabilkan Aruz.
Agak mengagumkan bagi sebuah SUV tinggi berbajet rendah seperti ini.

Aksesori Gear Up
Unit pandu uji ini dipasang lengkap dengan aksesori Gear Up iaitu pelindung cermin sisi (door visor), pelapik ruang kargo (Lugage Tray), pelindung bampar belakang (Rear Bumper Protector), pelapik ruang kaki (Coil Mat), pelindung kaki krom pada bahagian pintu, penebat bunyi pada pintu dan penebat bunyi pada bahagian penutup enjin.
Pelindung cermin sisi membolehkan cermin dibuka sedikit jika Aruz dipasang dibwah matahari terik bagi membantu pengudaraan ruang kabin, dan yang paling saya suka ialah penebat bunyi yang dipasang ruang penutup enjin dan juga pintu berjaya menghasilkan kabin yang sangat senyap, menjadikan pemanduan Aruz lebih selesa.

Adakah Aruz ini sesuai untuk anda?
Secara jujurnya jika anda sedang mencari sebuah kenderaan yang sangat selesa bagi bergerak dari titik A ke titik B dalam lingkungan harga antara RM70,000 – RM80,000, mempunyai 7 tempat duduk, ruang kargo yang besar dan praktikal, lasak dan lengkap dengan pelbagai ciri keselamatan, maka saya cadangkan anda masukkan Aruz 1.5X dalam senarai pandu uji.
Tambah saja RM5,000 lagi dan anda akan mendapat Aruz 1.5 Advance lengkap dengan ciri keselamatan ASA 2.0.
Dengan harga yang sangat kompetitif ini, Aruz dengan 7 tempat duduk yang lebih besar dan selesa dari sebuah sedan segmen B membuatkan pembelian Aruz memberikan nilai bagi setiap sen yang dibelanjakan.
