JUALAN PROTON TURUN 29.9% PADA JANUARI 2021 AKIBAT PKP. SAGA KEKAL MODEL PALING LARIS
Sebagai langkah untuk mengurangkan kadar jangkitan Covid-19, rakyat Malaysia kini perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali kedua dan kesannya jelas dilihat pada pelbagai industri.
Jumlah jualan industri automotif pada Januari dianggarkan berada sedikit di atas paras 32,000 unit, sepadan dengan penurunan jumlah yang besar bagi kebanyakan pemain utama.
Dengan penjualan sebanyak 5,964 unit, PROTON berjaya mengakhiri bulan ditangga kedua. Jumlah itu bersamaan pengurangan sebanyak 29.9 peratus berbanding Januari 2020. Manakala pegangan pasaran dianggarkan pada tahap 18.5 peratus, turun sebanyak 1.0 peratus.
Walaubagaimanapun, kadar jualan adalah kerana masalah pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukannya pengurangan tempahan.
Model terlaris PROTON pada Januari ialah Proton Saga. 2,583 unit telah dihantar kepada pembeli, sekaligus menjadikannya sedan segmen A kedua paling popular.
Proton X70 dan Proton X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen C dan SUV segmen B (lima tempat duduk), biarpun jumlah yang didaftar berkurangan kepada 892 unit dan 1,082 unit.
Bagi Proton X50, sebanyak 4,809 unit sudah diserahkan kepada pelanggan sejak ia dilancarkan pada 27 October tahun lalu.
Model PROTON yang lain pula dijual pada kadar yang setanding dengan prestasi syarikat. Proton Persona berjaya menduduki tangga kedua dalam kategori sedan segmen B. Manakala Proton Exora kekal sebagai MPV segmen C paling popular.
Proton Iriz pula mengakhiri Januari di tangga ketiga bagi hatchback segmen B.
“Januari ialah bulan yang agak sukar buat industri automotif di Malaysia. Kami menjangkakan momentum yang dibina pada akhir tahun lepas akan dibawa ke tahun baru ini, terutama selepas pengumuman insentif PENJANA akan kekal hingga ke pertengahan tahun.
“Malangnya, pengumuman PKP untuk kali kedua telah menghampakan harapan itu. Namun, PROTON dan pemain industri automotif menyokong sepenuhnya langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdulah.
Biarpun wujud kelewatan, PROTON berhasrat untuk meneruskan rancangan pelancaran produknya untuk tahun 2021 dalam usaha untuk meningkatkan penjualan di dalam dan luar negara.
“Buat masa ini, PROTON akan mengikuti jadual pelancaran produk. Kami akan melancarkan beberapa produk yang menarik pada tahun ini,” kata Roslan lagi.